27 May, 2017

Salam 1 Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum, selamat datang Ramadahan mubarak.

Mulianya bulan Ramadhan. Bulan yang penuh berkat. Banyak fadilat bulan Ramadhan. Antaranya malam Lailatulqadar yang mana cuma orang terpilih je mampu merasai malam yang penuh istimewa ni. Semua orang mesti ada pasang niat atau berazam sepanjang Ramadhan kan? Aku cuma berazam aku dapat jaga solat lima waktu sepanjang Ramadhan. Aku masih cuba jaga perkara wajib. Perkara sunat kalau aku mampu, aku buatlah.

Aku tak habis-habis ingatkan pada Singa si kucing tentang bulan puasa walaupun budak berbulu tu tak berakal. Aku jadi macam ni sebab terlalu rajin melayan kucing. Dengan kucing pun aku ajak berbual walaupun sepatah haram dia tak balas. Aku la yang syok sendiri.

“Singa, tak lama lagi bulan puasa dah dekat. Kena latih puasa tau.” Bebelan aku seolah-olah haiwan yang dianggap seperti adik kandung aku sendiri itu memahami kata-kata aku.
“Alah, Singa si kucing kok disuruh puasa? Manusia yang ada akal je tak reti nak puasa ini lagi kucing?” Ringkas, pedas, lidas sahaja jawapan Mama. Ada yang terasa ke? Aku takpun tapi sentap juga la hahaha.

Eheh meow purr purr. Selamatlah Singa. Syoklah ada orang menyebelahi dia. Tak payah puasa. Selamba je dia jilat bulu oren dia tu dengan senang hati. Momot pula dikecualikan dari puasa sebab dia masih lagi ‘kanak-kanak’. Usia dia baru masuk 3 bulan. Macam budak tadika lagi la cinonet ni kalau ikut usia homosapien. Aku hampir nak tukar nama dia jadi Kuaci. Sebab tiap kali tengok dia, rasa macam nak gigit je budak kecik ni. Hah, Momot nak kena gigit?

[Momot si cinonet]

Suruh kucing berpuasa ni bukannya nak suruh puasa sama macam manusia. Boleh ke dia sanggup menahan ekor (pembetulan: diri) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari di ufuk timur?

Eleh! Bukannya boleh percaya budak bulu ni. Curi-curi jilat air dalam besen, dan yang paling obvious, pergi dating dengan tunang atau pakwe sampai tak reti nak balik rumah, rasanya kita pun boleh agak apa yang dia buat dengan pakwe dia tu. Bukan setakat berlari berkejaran, seindah bunga di taman!

[Singa si kucing]

Aku suka cuba memahami apa yang ada dalam benak fikiran seekor kucing. Aku suka perhatikan tingkahlaku kucing. Bila kucing dengan kucing yang lain face to face, apa yang dibualnya ye? Dia tak adalah mengeow-ngeow antara satu sama lain. Kucing biasanya hanya akan mengeow pada manusia untuk berkomunikasi. Tapi kalau sama spesies, macam mana la diorang berkomunikasi?

Ok jomlah aku jelaskan erti puasa pada seekor kucing. Ini apa yang aku fikir dari sudut pandangan seekor kucing, iaitu Singa si kucing, kucing aku yang aku anggap macam seekor singa betina yang dah jinak.

Nombor satu. Jadual waktu Mama siang ikan berubah dari kebiasaannya. Untuk tempoh sebulan ni, berubah dari waktu sebelum tengahari kepada waktu petang atau selepas solat Asar. Jadi, kena bawa bersabar kalau nak minta sikit ikan mentah. Aku tahu agak tak elok bagi kucing ikan mentah, tapi masalahnya dia yang sibuk mengeow minta dan dialah yang paling sibuk mengalahkan kita yang nak menyiang ikan ni. Pendek kata, kalau time siang ikan ni dah macam berperang dengan dia. Aku? Lagi la terjerit-jerit dengan dia sambil tangan kiri spare penyapu lidi. “Jangan! Tak mahu macam gitu!” Rasanya jiran aku pun boleh dengar.

Belum lagi cerita aku kena siang ikan saiz besar gedabak tu. Kalau setakat ikan selar, ikan kembung saiz kecik tu senang la. Dapat pulak ikan Abah beli besar, pisau tumpul, terkial-kial juga la nak siang. Aku pun membebel la kat kucing kalau seorang diri kat dapur. “Macam mana ni? Kerasnya ikan ni Singa.” Kucing aku pun dok perhati je tuan dia terkial-kial siang ikan. Agaknya kalau la mulut kucing aku ni puaka macam si Safira, kucing dalam Komik Ronyok tu, dalam hati dia entah-entah dia fikir, “heh, lembap betullah anak dara ni buat kerja! Kalau Mama yang siang ikan, dah lama dah aku dapat makan.”
Tapi syukur setakat ni kucing aku melahap ikan mentah masih lagi sihat semuanya. Antibodi melawan kuman kuat beb! Kucing kampung lagi power!

Nombor dua. Dilarang menayang kenikmatan menjilat air tempayan tadahan hujan dengan kaki terkangkang di depan tuan terutama pada waktu cuaca panas terik. Tuan dia ni pun satu, kalau dah haus sangat, air paip tu pun boleh jadi rasa air sirap pandan waktu berkumur ambil air wudhu.

Nombor tiga. Kena teman tuan bersahur kalau nak makanan. Selalunya, jam 4 hingga 5 pagi takkan ada manusia yang ke dapur kecuali saka yang kelaparan. Jadi, sila rebut peluang manusia bersahur untuk dapat makan. Dan ternyata memang berebut nak bersahur juga. Dia la yang paling sibuk kat dapur nak makan juga. Yela, tak usah susah payah pergi berburu binatang kat kebun kelapa sawit tu, cuma perlu tayang muka comel dan simpati, confirm dapat makanan.

Bercakap pasal sahur ni, bangun untuk bersahur pun besar ganjaran pahalanya. Kalau ikutkan hati aku memang malas nak bangun dari katil kesayangan aku yang empuk lagi menghangatkan semata-mata nak mengunyah dan menelan makanan. Tapi kalau tak bangun bersahur yakin jam 8 pagi nanti perut dah berdendang sayang lagu Cinta Muka Buku. Tapi aku ada cara lain nak bersemangat bangun. Bila ingatkan lauk-pauk yang menggamit bau dan selera walaupun cuma nasi lauk telur goreng campur kicap, terus bersemangat nak bangun. Tapi walau macam mana pun, aku tetap kena bangun juga sebab fikir nak makan ubat untuk waktu pagi (OD). Makanan mesti kena ambil juga walaupun sikit untuk alas perut. Tak boleh telan ubat dengan perut kosong. Nanti pil tu tak jalan (baca: kurang berfungsi). Tapi jarang la aku makan sahur setakat untuk alas perut, mahu 2 pinggan nasi aku cekik.

Bercakap pasal ubat pula, hmm... Aku rasa kalau bulan puasa, ubat mesti makan ikut waktu teratur walaupun waktu pengambilan ubat berubah. Tapi masih lagi kekal 2 biji satu hari. Waktu bersahur dan berbuka. Yeah! Yakinlah mesti tak tertinggal. Confirm la berdisiplin. Kecuali kalau kau skip bersahur. Kalau skip berbuka tak mungkin berlaku kan. Selalunya selama 11 bulan, Maghrib yang tunggu kita, bila bulan Ramadhan datang, barulah kita yang tunggu Maghrib. Astaghfirullah.

Nak mengingatkan kepala otak supaya jangan terlepas makan ubat waktu sahur, selalunya bila mata masih lagi terpisat-pisat sambil kaki melangkah ke dapur, benda pertama yang aku capai mesti bekas ubat aku tu dulu. Aku letak dekat-dekat aku supaya tak lupa nak telan ubat lepas habis makan. Senang cerita, aku makan nasi tu memang menghadap kotak pil ungu tu serta vitamin yang aku kena ambil yang ala-ala untuk orang pregnant tu. Kalau dah lewat bangun, sambil mengunyah selaju-laju mungkin untuk disumbat dalam perut, sambil tangan kiri sibuk pegang handphone tengok jam takut habis waktu sahur.

Berbuka waktu Maghrib, aku kena telan lagi sebiji pil (BD). Kadang-kadang dah tak larat sangat nak menelan pil sebab kekenyangan, aku tangguh juga nak telan pil tu. Nantilah. Lepas Isya’ atau solat terawih, pada jam 9 setengah atau 10 malam aku selalunya akan kembali semula ke dapur dan mencari benda alah yang dipanggil makanan. Sambung semula makan makanan yang belum habis dimakan waktu berbuka puasa tadi. Orang jawa cakap mentong maksudnya kita makan lagi. Tapi tak janji juga, sebab kadang lupa yang aku belum telan ubat. Cehh.

Tapi aku bersyukur aku masih lagi mampu dan boleh berpuasa penuh kecuali ABC special satu (Allah Bagi Cuti khas). Ada yang terpaksa telan pil atau ambil ubatan dengan kerap sampai doktor tak benarkan puasa. Sedihnya la.

Rindunya zaman puasa di perantauan waktu study kat UiTM. Ramai-ramai satu housemate berkumpul kat ruang tamu berbuka sama. Kadang-kadang lepak dengan member classmate berbuka sama. Pernah aku masa tu tak puasa (ABC), aku pun siap sedia nak berbuka kat Anjung Sri Perpatih tu dengan member aku. Boleh pulak aku tersedut air kat atas meja tu. Tak tahu la kalau ada orang nampak. Rasanya line clear.

Lagi satu cerita, masa tu aku ABC juga, aku baru habis pergi scaling gigi (cuci gigi) kat Klinik Pergigian Kuala Pilah tu dengan member. Member aku ni pun ABC juga. Aku dengan selamba singgah Coolblog kat pekan tu beli ice blended perisa kegemaran aku, vanila. Kononnya nak buat berbuka puasa tu nanti. Pergh tak tahan nak sedut, masa kitorang duduk tunggu bas kat perhentian bas tu, aku usha kiri kanan, line clear, dengan syoknya aku menyedut biji-biji pearl tu dengan nikmatnya. Amboi. Kalau tak silap, masa tu kat sekeliling aku memang tak ada orang lain kecuali kitorang dan ada seorang perempuan India. Ah, aku tak tahan, minum aje la daripada rugi ais cair sampai kolej. Melampau ke aku?

Arghh lagi melampau masa aku kena kat kolej. Entah siapa la tak puasa tengahari macam ni, dia pergi masak megi kari woi.... Bau dia semerbak satu blok. Paling aku tak boleh lupa juga, waktu aku semester 1, housemate aku dengan selambanya masak air panas & bancuh Nescafe pagi-pagi buta sebelum pergi kelas. Alasannya, dia tak puasa sebab tadi pagi tak bangun sahur. Speechless aku dengar jawapan dia. Ada pula minah ni mentang-mentang ABC, balik dari bazar Ramadhan, terus dia melahap tayang makanan dia depan kitorang dengan alasan period. Huh sabar je la.

Oklah, apa entah yang aku bebel ni. Sorry kalau menyinggung mana-mana pihak. Kadang aku kasar, kadang aku cakap tak berlapik. Ok? Selamat menunaikan ibadah puasa Ramadhan tahun ni. Tak payah nak berharap mana yang masih lagi single, semoga Ramadhan tahun ni yang terakhir berstatus single. Patutnya harap jangan sampai Ramadhan tahun ni Ramadhan terakhir dalam hidup kita. Jodoh sampai, kahwin, ajal sampai, dah bersedia? Allah. Aku kalau dah disuruh menaip, memang tak nak berhenti. Syok menulis beribu patah perkataan. Assalamualaikum!

No comments:

Post a Comment