08 May, 2017

Mak sakit apa?

Kat dalam klinik ni, kita macam berada dalam pasar raya besar contohnya Giant. Kenapa? Apa yang sama? Hehe kita tak perasan pun panas ke, hujan ke, petir ke. Kalau rajin menjenguk ke tingkap kaca tu nampaklah. Tapi aku bukan jenis tak reti duduk diam. Dah ‘cop’ bangku tu, memang kat situ je la aku duduk tenung skrin nombor giliran sambil jeling jam berdetik sampai la nombor giliran dipanggil.

Saban hari, ruangan menunggu dan bangku yang tersedia sentiasa dipenuhi pesakit tak kira tua, muda, jantina, bangsa, mahupun agama. Kukira kerusi menunggu yang tersedia masih tidak dapat menampung warga pesakit yang menunggu untuk mendapatkan rawatan. Tapi bilik pegawai perubatan bukan main banyak. Sampai berbelas. Ada yang sampai hujung, ada yang perlu ke kiri dan terus belok ke kanan. Belum cerita dalam setiap bilik itu ada dua orang MO (medical officer) ditempatkan bagi setiap ruangan.

Ada warga emas yang mengikuti lawatan tarikh susulan bagi penyakit yang dihidapi, ada remaja yang melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memenuhi syarat kelayakan ke institut pengajian tinggi, ada belia yang memerlukan rawatan disebabkan demam, sakit perut, atau mungkin cirit-birit, dan ibu mengandung yang memenuhi temujanji bagi konsultasi kandungan.
Kelihatan juga seorang makcik memegang buku rawatan. Fuhh tebal tu. Agaknya dah berapa tahun punya rekod tu. Mungkin buku untuk pesakit kencing manis. Di hadapanku pula ada seorang bayi yang pipinya masih kemerahan berselimut didukung ibunya. Merahnya pipi dia... Teringat pula kalau anak kucing baru lahir pun muka dia mesti kemerahan ataupun pink. Heh, aku ni asyik kucing je yang diingat. Apa ye masalah adik tu? Biasanya kalau baby kena jaundis kot. Di sebelah dinding pula seorang pemuda berdiri menyandar sambil setia memegang borang pengambilan darah. Oh, tunggu giliran nak buat blood test la tu.

Ada yang sibuk melayan panggilan daripada telefon bimbit. Bukan main lagi rancak berbual. Jururawat pula lalu lalang silih berganti. Kadang-kadang laluan sempit menjadi sesak oleh sebab ada yang menyorong pesakit menggunakan bantuan kerusi roda. Ada kalanya petugas kebersihan datang menyapu lantai bagi memastikan tahap kebersihan terjaga dan memuaskan.

Nombor giliran bertalu silih berganti bagi memanggil pesakit yang sedia menanti giliran mereka dipanggil konsultasi bersama medical officer. Setiap nombor giliran diasingkan mengikut jenis kes pesakit.
Aku tidak terkecuali menjadi sebahagian daripada mereka bagi setiap tiga bulan. Kadang tak tentu juga, dua bulan, ataupun empat bulan. Tapi kebiasaannya tiga bulan la kot. Ada juga pegawai perubatan lupa mahu beri tarikh susulan akan datang. Aii, doktor tak nak jumpa saya lagi ke? Chia chiaa chiaa.. (ayat pick up line tak jadi mungkin kena reject terus)

Kerana terlalu lama menunggu, Mama terpaksa ke tandas bagi menyah sisa toksik setelah ditapis oleh buah pinggang. Seorang pak cik menegurku. Kebetulan dia memang orang kampung aku. Jadi kenal la dengan aku.

“Eh, mana maknya? Dah masuk dalam jumpa doktor ke?” Tanyanya.

“Taklah, Mama pergi tandas.” Jawabku dengan senyuman tawar.

Bukan Mama yang sakit. Anaknya yang sakit la pakcik. Hmm.
------------

Unit Farmasi Klinik Kesihatan Batu Pahat juga langsung tidak kalah dengan ruangan menunggu di kawasan bilik pegawai perubatan. Paparan skrin nombor giliran juga silih berganti. Kadang-kadang terberhenti juga. Mungkin terlalu banyak stok ubat yang perlu didispens oleh pegawai farmasi. Agaknya la.

Tapi aku paling suka berada di sini. Sebab apa? Usha pegawai farmasi yang berdiri di kaunter hehe. Kalau ada yang handsome pergh lagi la nampak smart. Segaknya pakai white coat. Mulianya kerjaya mereka. Tolong orang sakit. Menjadi seorang pegawai farmasi juga merupakan salah satu impian aku. Walaupun aku tahu aku tak layak. Pegawai farmasi pun sama pangkat dengan pegawai perubatan. Jadi sudah terang lagi bersuluh dengan spotlight, aku memang tak boleh jadi pharmacist.

Aku suka perhatikan staf di unit farmasi. Aku gemar melihat cara mereka berkerja melayan pesakit. Sebab, impian aku pun ingin tolong pesakit. Sebab, aku tahu macam mana rasanya jadi orang sakit.

Sabar menunggu giliran untuk pengambilan ubat. Mama duduk di belakang aku. Agak sukar aku mahu ajak berkomunikasi. Jadi, aku diam sahaja. Aku bukannya jenis orang peramah dengan orang yang tak dikenali. Suka-suka nak tegur makcik sebelah aku, sakit apa cik? Suka-suka nak berkenalan dengan orang sebelah walaupun umur sebaya dengan aku? Tak. Aku pemalu. Kadang aku senyum je. Speechless la nak berbual. Lagi kalau ada mamat handsome, memang taklah aku nak cuba tegur. Ermm tapi setakat ni macam tak pernah lagi terjumpa mamat handsome kalau kat klinik!

Kalau orang tu tegur aku, barulah aku beri respons. Kalau orang tu ramah bercerita, aku anggukkan sahaja. Ikut mood juga la. Time malas melayan, aku jeling orang sebelah pun tak. Habis apa aku buat? Main phone je la. Tak habis-habis dengan game. Lagi buat apa? Apa lagi? Kemaskini status kat media sosial la... Snap gambar nombor giliran lepas tu upload kat facebook.

What’s on your mind?
Refill ubat bla bla bla
Follow up bla bla bla

Check in to Klinik Kesihatan Batu Pahat

Kalau aku bawa bahan bacaan, aku baca la buku tu. Kat sini ada Mama sebagai teman jadi boleh la dibuat kawan berbual. Tak payah kawan dengan orang lain. Macam tu pulak?

Kalau masa study kat UiTM, time kau pergi klinik. Mesti seorang diri kan? Habis tu macam mana dengan sikap kau?

Eh sama la macam yang aku cerita tadi. Kalau ada mood, berbual la dengan orang, kalau tak ada mood, aku baca la lecture notes. Tapi walaupun test atau quiz dah nak dekat sekalipun, then kau study baca lecture note, tetap tak boleh masuk otak. Bukan pasal aroma ubat-ubatan atau bahan kimia. Suasana tak sesuai la kot. Orang lalu-lalang. Kadang-kadang bising.

Seorang wanita warga emas menegurku. Dia memang duduk bersebelahan aku semenjak dari kehadirannya ke sini.

“Dik, demam ke? Atau ambilkan emak punya ubat?”

Aku mendengus. Aku menggeleng. Tuduh Mama lagi yang sakit.
“Taklah, ambil ubat saya punya.”

“Sakit apa dik?” Makcik tu salah tafsir rupanya.

“Sawan.” Aku tak malu mengaku aku ada penyakit sawan.

“Oh, kena makan ubat hari-hari la ni?” Tanya makcik tu lagi.

“Aah.” Aku dah lali dengan ubatan yang aku ambil tiap hari.

“Sekarang ni penyakit apa yang sibuk orang cakap tu? Bika?” Makcik itu berseloroh.

“........” Aku cuba memahami butir-butir yang cuba disebut.

“Demam apa? Bikaa? Virus bikaa?”

“Oooh, itu virus Zika.” Adui makcik ni. Teringat pulak keropok sayur makanan ringan jenama Bika. Jajan kegemaran aku masa kanak-kanak. Masa tu harga dia sebungkus 20 sen je.

“Haa Zika.. Haritu saudara makcik ada doktor suspect dia kena virus Zika tu. Habis semua nurse datang rumah dia kat taman perumahan tu, satu keluarga semua kena check.”

“Oooh.. Habis kena betul ke makcik?” Isu menarik ni... Yela, budak course Mikrobiologi la katakan... Terus terbayang lecture note subjek Virology Madam Iwana Izni.

“Entahlah tak tahu. Yang makcik tahu diorang cuma baru nak check haritu.”

Perbualan kami berhenti di situ.

Argghh lupakan subjek Virology. Ini bukan masanya nak bayangkan bacteriophage singgah dan penetrate kat sel kita. Ini bukan masanya nak fikir Herpes virus bentuk dia yang mana. Ini bukan masanya nak ingat balik Lytic and Lysogenic process.

Sakit hati juga la bila ke klinik dengan Mama, orang mesti persoalkan mak kita ke yang sakit?  Tolong ambilkan ubat untuk mak kita ke? Bengang juga la. Memang semua orang tak tahu masalah sebenar kita tapi jaga sikit mulut tu. Tolong ubah tanggapan tu. Jaga hati orang. Ubah stigma tu sikit.

Hello, I’m trying to tell you... Saya ni yang sakit. Bukan emak saya. Pembetulan, bukan Mama saya. Mama saya sihat walafiat. Cuma sakit-sakit sendi itu ada la. Biasa la usia dah semakin menginjak.

Saya tahu, riak wajah saya ni tak nampak macam orang sakit kan? Saya nampak sihat kan? You wrong judge myself... Kalau saya rebah kat lantai kekejangan sambil mulut berbuih on the spot kat situ, mesti tak sangka kan? Eh, budak ni tadi normal tiba-tiba je kena sawan?

Hai orang sekeliling, saya redha saya diberi penyakit macam ni oleh Tuhan. Saya redha dengan status penghidap epilepsi. Saya redha bila kena telan pil setiap hari. Saya redha dengan ujian hidup macam ni.

Just one wish, saya harap bukan Mama saya yang ada penyakit macam ni, ataupun penyakit lain yang hinggap kat Mama. Saya minta tolong doakan Mama saya sihat walafiat, panjang umurnya. Doakan saya sempat balas jasa Mama. Saya nak bahagiakan Mama saya.

Saya tahu, saya bukanlah anak yang solehah, solat tunggang terbalik, aurat belum sempurna, kerjaya tetap pun belum ada. Tapi saya masih mencuba, saya masih mencari arah untuk berubah, saya masih lagi dalam usaha. Saya nak penuhi segala impian Mama. Saya nak bawa Mama tunaikan haji. Doakan saya berjaya balas jasa Mama saya ye? (sambil menaip, air mata bergenang)


Petikan dari sebahagian diari novel hidup Iza. Cerpen ini ditambah khas sempena sambutan Hari Ibu pada 14 Mei 2017 (setiap minggu ke 2 hari Ahad bulan Mei setiap tahun) dan juga sempena masuk tahun ke 6 doktor diagnos Iza menghidap epilepsi, juga jatuh pada bulan Mei. Iza harap dengan post ini dapat buka mata semua orang. Hargai jasa ibu kita. Selamat hari ibu, Mama... Dan juga, semoga Iza kuat mengharungi liku kehidupan penyakit ni. Assalamualaikum!

No comments:

Post a Comment