27 May, 2017

Salam 1 Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum, selamat datang Ramadahan mubarak.

Mulianya bulan Ramadhan. Bulan yang penuh berkat. Banyak fadilat bulan Ramadhan. Antaranya malam Lailatulqadar yang mana cuma orang terpilih je mampu merasai malam yang penuh istimewa ni. Semua orang mesti ada pasang niat atau berazam sepanjang Ramadhan kan? Aku cuma berazam aku dapat jaga solat lima waktu sepanjang Ramadhan. Aku masih cuba jaga perkara wajib. Perkara sunat kalau aku mampu, aku buatlah.

Aku tak habis-habis ingatkan pada Singa si kucing tentang bulan puasa walaupun budak berbulu tu tak berakal. Aku jadi macam ni sebab terlalu rajin melayan kucing. Dengan kucing pun aku ajak berbual walaupun sepatah haram dia tak balas. Aku la yang syok sendiri.

“Singa, tak lama lagi bulan puasa dah dekat. Kena latih puasa tau.” Bebelan aku seolah-olah haiwan yang dianggap seperti adik kandung aku sendiri itu memahami kata-kata aku.
“Alah, Singa si kucing kok disuruh puasa? Manusia yang ada akal je tak reti nak puasa ini lagi kucing?” Ringkas, pedas, lidas sahaja jawapan Mama. Ada yang terasa ke? Aku takpun tapi sentap juga la hahaha.

Eheh meow purr purr. Selamatlah Singa. Syoklah ada orang menyebelahi dia. Tak payah puasa. Selamba je dia jilat bulu oren dia tu dengan senang hati. Momot pula dikecualikan dari puasa sebab dia masih lagi ‘kanak-kanak’. Usia dia baru masuk 3 bulan. Macam budak tadika lagi la cinonet ni kalau ikut usia homosapien. Aku hampir nak tukar nama dia jadi Kuaci. Sebab tiap kali tengok dia, rasa macam nak gigit je budak kecik ni. Hah, Momot nak kena gigit?

[Momot si cinonet]

Suruh kucing berpuasa ni bukannya nak suruh puasa sama macam manusia. Boleh ke dia sanggup menahan ekor (pembetulan: diri) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari di ufuk timur?

Eleh! Bukannya boleh percaya budak bulu ni. Curi-curi jilat air dalam besen, dan yang paling obvious, pergi dating dengan tunang atau pakwe sampai tak reti nak balik rumah, rasanya kita pun boleh agak apa yang dia buat dengan pakwe dia tu. Bukan setakat berlari berkejaran, seindah bunga di taman!

[Singa si kucing]

Aku suka cuba memahami apa yang ada dalam benak fikiran seekor kucing. Aku suka perhatikan tingkahlaku kucing. Bila kucing dengan kucing yang lain face to face, apa yang dibualnya ye? Dia tak adalah mengeow-ngeow antara satu sama lain. Kucing biasanya hanya akan mengeow pada manusia untuk berkomunikasi. Tapi kalau sama spesies, macam mana la diorang berkomunikasi?

Ok jomlah aku jelaskan erti puasa pada seekor kucing. Ini apa yang aku fikir dari sudut pandangan seekor kucing, iaitu Singa si kucing, kucing aku yang aku anggap macam seekor singa betina yang dah jinak.

Nombor satu. Jadual waktu Mama siang ikan berubah dari kebiasaannya. Untuk tempoh sebulan ni, berubah dari waktu sebelum tengahari kepada waktu petang atau selepas solat Asar. Jadi, kena bawa bersabar kalau nak minta sikit ikan mentah. Aku tahu agak tak elok bagi kucing ikan mentah, tapi masalahnya dia yang sibuk mengeow minta dan dialah yang paling sibuk mengalahkan kita yang nak menyiang ikan ni. Pendek kata, kalau time siang ikan ni dah macam berperang dengan dia. Aku? Lagi la terjerit-jerit dengan dia sambil tangan kiri spare penyapu lidi. “Jangan! Tak mahu macam gitu!” Rasanya jiran aku pun boleh dengar.

Belum lagi cerita aku kena siang ikan saiz besar gedabak tu. Kalau setakat ikan selar, ikan kembung saiz kecik tu senang la. Dapat pulak ikan Abah beli besar, pisau tumpul, terkial-kial juga la nak siang. Aku pun membebel la kat kucing kalau seorang diri kat dapur. “Macam mana ni? Kerasnya ikan ni Singa.” Kucing aku pun dok perhati je tuan dia terkial-kial siang ikan. Agaknya kalau la mulut kucing aku ni puaka macam si Safira, kucing dalam Komik Ronyok tu, dalam hati dia entah-entah dia fikir, “heh, lembap betullah anak dara ni buat kerja! Kalau Mama yang siang ikan, dah lama dah aku dapat makan.”
Tapi syukur setakat ni kucing aku melahap ikan mentah masih lagi sihat semuanya. Antibodi melawan kuman kuat beb! Kucing kampung lagi power!

Nombor dua. Dilarang menayang kenikmatan menjilat air tempayan tadahan hujan dengan kaki terkangkang di depan tuan terutama pada waktu cuaca panas terik. Tuan dia ni pun satu, kalau dah haus sangat, air paip tu pun boleh jadi rasa air sirap pandan waktu berkumur ambil air wudhu.

Nombor tiga. Kena teman tuan bersahur kalau nak makanan. Selalunya, jam 4 hingga 5 pagi takkan ada manusia yang ke dapur kecuali saka yang kelaparan. Jadi, sila rebut peluang manusia bersahur untuk dapat makan. Dan ternyata memang berebut nak bersahur juga. Dia la yang paling sibuk kat dapur nak makan juga. Yela, tak usah susah payah pergi berburu binatang kat kebun kelapa sawit tu, cuma perlu tayang muka comel dan simpati, confirm dapat makanan.

Bercakap pasal sahur ni, bangun untuk bersahur pun besar ganjaran pahalanya. Kalau ikutkan hati aku memang malas nak bangun dari katil kesayangan aku yang empuk lagi menghangatkan semata-mata nak mengunyah dan menelan makanan. Tapi kalau tak bangun bersahur yakin jam 8 pagi nanti perut dah berdendang sayang lagu Cinta Muka Buku. Tapi aku ada cara lain nak bersemangat bangun. Bila ingatkan lauk-pauk yang menggamit bau dan selera walaupun cuma nasi lauk telur goreng campur kicap, terus bersemangat nak bangun. Tapi walau macam mana pun, aku tetap kena bangun juga sebab fikir nak makan ubat untuk waktu pagi (OD). Makanan mesti kena ambil juga walaupun sikit untuk alas perut. Tak boleh telan ubat dengan perut kosong. Nanti pil tu tak jalan (baca: kurang berfungsi). Tapi jarang la aku makan sahur setakat untuk alas perut, mahu 2 pinggan nasi aku cekik.

Bercakap pasal ubat pula, hmm... Aku rasa kalau bulan puasa, ubat mesti makan ikut waktu teratur walaupun waktu pengambilan ubat berubah. Tapi masih lagi kekal 2 biji satu hari. Waktu bersahur dan berbuka. Yeah! Yakinlah mesti tak tertinggal. Confirm la berdisiplin. Kecuali kalau kau skip bersahur. Kalau skip berbuka tak mungkin berlaku kan. Selalunya selama 11 bulan, Maghrib yang tunggu kita, bila bulan Ramadhan datang, barulah kita yang tunggu Maghrib. Astaghfirullah.

Nak mengingatkan kepala otak supaya jangan terlepas makan ubat waktu sahur, selalunya bila mata masih lagi terpisat-pisat sambil kaki melangkah ke dapur, benda pertama yang aku capai mesti bekas ubat aku tu dulu. Aku letak dekat-dekat aku supaya tak lupa nak telan ubat lepas habis makan. Senang cerita, aku makan nasi tu memang menghadap kotak pil ungu tu serta vitamin yang aku kena ambil yang ala-ala untuk orang pregnant tu. Kalau dah lewat bangun, sambil mengunyah selaju-laju mungkin untuk disumbat dalam perut, sambil tangan kiri sibuk pegang handphone tengok jam takut habis waktu sahur.

Berbuka waktu Maghrib, aku kena telan lagi sebiji pil (BD). Kadang-kadang dah tak larat sangat nak menelan pil sebab kekenyangan, aku tangguh juga nak telan pil tu. Nantilah. Lepas Isya’ atau solat terawih, pada jam 9 setengah atau 10 malam aku selalunya akan kembali semula ke dapur dan mencari benda alah yang dipanggil makanan. Sambung semula makan makanan yang belum habis dimakan waktu berbuka puasa tadi. Orang jawa cakap mentong maksudnya kita makan lagi. Tapi tak janji juga, sebab kadang lupa yang aku belum telan ubat. Cehh.

Tapi aku bersyukur aku masih lagi mampu dan boleh berpuasa penuh kecuali ABC special satu (Allah Bagi Cuti khas). Ada yang terpaksa telan pil atau ambil ubatan dengan kerap sampai doktor tak benarkan puasa. Sedihnya la.

Rindunya zaman puasa di perantauan waktu study kat UiTM. Ramai-ramai satu housemate berkumpul kat ruang tamu berbuka sama. Kadang-kadang lepak dengan member classmate berbuka sama. Pernah aku masa tu tak puasa (ABC), aku pun siap sedia nak berbuka kat Anjung Sri Perpatih tu dengan member aku. Boleh pulak aku tersedut air kat atas meja tu. Tak tahu la kalau ada orang nampak. Rasanya line clear.

Lagi satu cerita, masa tu aku ABC juga, aku baru habis pergi scaling gigi (cuci gigi) kat Klinik Pergigian Kuala Pilah tu dengan member. Member aku ni pun ABC juga. Aku dengan selamba singgah Coolblog kat pekan tu beli ice blended perisa kegemaran aku, vanila. Kononnya nak buat berbuka puasa tu nanti. Pergh tak tahan nak sedut, masa kitorang duduk tunggu bas kat perhentian bas tu, aku usha kiri kanan, line clear, dengan syoknya aku menyedut biji-biji pearl tu dengan nikmatnya. Amboi. Kalau tak silap, masa tu kat sekeliling aku memang tak ada orang lain kecuali kitorang dan ada seorang perempuan India. Ah, aku tak tahan, minum aje la daripada rugi ais cair sampai kolej. Melampau ke aku?

Arghh lagi melampau masa aku kena kat kolej. Entah siapa la tak puasa tengahari macam ni, dia pergi masak megi kari woi.... Bau dia semerbak satu blok. Paling aku tak boleh lupa juga, waktu aku semester 1, housemate aku dengan selambanya masak air panas & bancuh Nescafe pagi-pagi buta sebelum pergi kelas. Alasannya, dia tak puasa sebab tadi pagi tak bangun sahur. Speechless aku dengar jawapan dia. Ada pula minah ni mentang-mentang ABC, balik dari bazar Ramadhan, terus dia melahap tayang makanan dia depan kitorang dengan alasan period. Huh sabar je la.

Oklah, apa entah yang aku bebel ni. Sorry kalau menyinggung mana-mana pihak. Kadang aku kasar, kadang aku cakap tak berlapik. Ok? Selamat menunaikan ibadah puasa Ramadhan tahun ni. Tak payah nak berharap mana yang masih lagi single, semoga Ramadhan tahun ni yang terakhir berstatus single. Patutnya harap jangan sampai Ramadhan tahun ni Ramadhan terakhir dalam hidup kita. Jodoh sampai, kahwin, ajal sampai, dah bersedia? Allah. Aku kalau dah disuruh menaip, memang tak nak berhenti. Syok menulis beribu patah perkataan. Assalamualaikum!

11 May, 2017

Sehalus kuman, sekecil kebaikan di UPM

Assalamualaikum! Ni Iza nak cerita pasal sedikit kenangan secalit kebaikan dan antara kenangan terindah sewaktu praktikal di UPM :)


Seperti biasa aku duduk di ruangan gelap itu. Ruangan yang menempatkan meja bagi kegunaan para pelajar bersosial. Melihatkan keadaan sekeliling, seolah seperti bangunan tinggalan orang. Pemandangannya yang agak suram semakin menguatkan keinginan aku untuk segera menamatkan sesi latihan industri aku di sini. Aku dah lama sangat homesick kat sini. Bosan!

Mama, nak balik kampung!

Bangunan fakulti di sini memang sudah agak lama dan kelihatan usang. Namun kejayaannya siapa sangka, telah banyak melahirkan para graduan cemerlang yang diiktiraf terutamanya dalam penyelidikan dan pembangunan. Universiti ini juga merupakan antara institut pengajian tinggi awam yang berada di top ranking universiti terbaik di Malaysia mahupun antarabangsa. Universiti ini juga antara pilihan ramai pelajar untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi seperti sarjana dan doktor falsafah.

Mataku mengerling ke arah seseorang yang wajahnya memang biasa aku lihat di sini. Status sebagai seorang pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda menyebabkan dia tidak lekang sibuk ke sana sini bagi menyelesaikan projek tahun akhir atau final year project (FYP). Lab coat sentiasa tersarung ke mana-mana. Tangan bersarung getah erat memegang radas serta bahan kimia dari satu makmal ke makmal yang lain. 

Aku di sini senyum memerhatikan gelagatnya. Teringat pulak waktu FYP diploma semester lima yang lepas sewaktu aku di UiTM. Walaupun projek itu sekadar mini projek tapi sudah cukup membuatkan aku hidup tak terurus. Heh, itu baru diploma, belum degree? Kalau master? PHD lagi? Matilanak!

Fikiran aku masih lagi menerawang ke dalam sisi bangunan fakulti ini. Berhadapan dengan meja aku terdapat sebuah makmal ikan. Gelap. Suis lampu hanya akan dipetik apabila makmal beroperasi. Tapi keadaan dalam dia agak menakutkan juga. Di bahagian kanan aku terdapat sebuah mesin air minuman layan diri automatik.

Mujur ada kemudahan mesin gedegang. Pembetulan, mesin air minuman automatik. Murah pulak tu. Bagi setiap tin air minuman mahupun air mineral hanya berharga RM 1. Variasi perisa seperti cincau, teh bunga, dan juga kacang soya. Walaupun bukan dari jenama air minuman yang terkenal pun, tapi rasa air minumannya setanding dengan jenama terkenal. Eh, ada juga jenama Mountain Dew dan juga Sprite. Pun hanya berharga  seringgit juga bagi setiap tin.

Seorang kanak-kanak perempuan berbaju gaun merah jambu cair berusia lebih kurang 5 tahun datang mendekati mesin air automatik itu. Berambut kerinting perang, wajahnya putih mulus, pipinya kemerahan. Tak perlu pakai blusher pun hehe. Pemerah pipi semula jadi. Anugerah Ilahi. Hidungnya yang mancung itu pastinya jelas menunjukkan yang dia memanglah bukan warganegara Malaysia. Iras seperti kanak-kanak comel yang menderita hidup di bumi Allah, Syria.

Budak ini sudah beberapa kali kulihat menemani ibunya. Waktu makan di cafe, solat di surau dan di sekitar fakulti ini. Aku rasa ibunya menyambung pengajian di sini. Mempunyai anak kecil, tabahnya mereka mengharungi hidup di tanah air kita bagi meningkatkan taraf pendidikan, seterusnya meningkatkan taraf kehidupan.

Kelihatan dia memegang sekeping not biru RM 1. Aku hanya memerhatikan perilakunya. Dia berjaya memasukkan kepingan wang kertas tersebut ke dalam mesin itu. Pandainya adik tu, aku memujinya di benak hati. Kadang-kadang leceh juga berurusan dengan mesin buatan manusia ni. Suka hati je dia telan duit orang. Aku acap kali terkena sewaktu di kolej mahu membeli minuman kegemaranku, Milo. Aku tendang mesin tu pun dia tak pulangkan baki duit. Air pun tak keluar. Lepastu apa lagi, mengadu la pada dua orang sahabat aku, Insyirah dan Ana yang sama-sama menetap di kolej itu. Malam nanti mengadu pada Mama pula.

Tiba-tiba dia menjinjit. Cuba untuk mencapai punat pilihan air minuman yang dikehendakinya. Namun, sayangnya tangannya tak kesampaian. Terkapai-kapai mahu menekan butang air pilihan.

Dalam aku berkira-kira mahu membantunya, budak itu menoleh ke belakang. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan sebelum matanya kebetulan bertentangan dengan aku. Ekor matanya memberitahu aku bahawa dia memerlukan bantuanku untuk mencapai punat. Mujur aku faham bahasa matanya. Mungkin dia masih terlalu kecil untuk meminta bantuan aku dengan berbahasa Inggeris.

Aku bingkas bangun lantas mendekati kanak-kanak itu. Kerana kekangan bahasa, aku hanya menunjukkan isyarat jari ke arah pilihan air minuman yang dikehendakinya.
Budak itu menggangguk. Aku menekan punat.

Gedegang ! Hehe padanlah dipanggil mesin gedegang. Bunyi dia sama macam tu. Budak itu mengambil minuman dari bawah mesin dan berlari hilang dari pandangan aku.

Aku duduk kembali di meja. Aku masih lagi menikmati waktu bermalas-malasan di situ. Bukannya aku ada kerja banyak pun. Supervisor pun tak kisah kalau aku tak masuk makmal.

Dalam 10 minit kemudian, ibu kepada kanak-kanak perempuan itu tadi mendekati mesin air automatik. Kali ini bersama anak kecil itu sekali. Aku langsung tak peduli apa yang mereka lakukan. Mata aku hanya fokus kepada skrin telefon bimbit. Menikmati kemudahan akses percuma WiFi yang disediakan untuk warga fakulti memang seronok bukan kepalang.

Ibu tadi mendekati mejaku lalu menghulurkan aku sebuah minuman dalam tin. Jari tanganku yang leka melarik skrin telefon bimbit terhenti. Pandanganku fokus ke arah wajah wanita itu. Aku terkesima. Dia senyum padaku sambil anaknya memerhatikan aku.

Aaaa... Thank you!” Tergagap-gagap aku mahu merangka ayat dalam tindak balas situasi sebegini. Sudahlah kena speaking english bagai haha. Kalau dia cakap Arab, haha lagi la aku speechless nak jawab apa. 

Wanita itu senyum berlalu pergi sambil mengangkat tangan. Its okay, just small matter, thank you for helping my little daughter! Aku cuba menterjemah dari bahasa tangannya. Agaknya la kalau dia cakap macam tu.

Suasana menjadi sunyi kembali. Krik krik krik krik... Tapi tak ada la bunyi cengkerik betul waktu siang begini.

Aku memandang ke arah air minuman itu. Tangan kananku membelek minuman tersebut. Aku sengih sendirian. Mesti adik tadi tu mengadu kat emak dia yang ada kakak tolong tekankan butang masa nak beli air. Lepastu emak dia datang nak ucap terima kasih kat aku. Sebagai tanda ucapan terima kasih, dia beri aku satu tin air minuman. Alhamdulillah.

Kita tolong orang, orang tolong kita. Kita buat baik kat orang, orang buat baik kat kita. Kita mudahkan kerja orang, orang mudahkan kerja kita. On the spot aku dapat ganjarannya. Yang mana pernah buat kebajikan, sabarlah jika Tuhan masih belum beri balasan setimpal, kerana di setiap sabar itu ada ganjarannya yang lebih besar menanti.

Aku cuma bantu orang dengan kebaikan yang mana jasanya hanya sekecil kuman Lactobacillus casei, sejenis bakteria yang banyak manfaatnya pada tubuh kita. Tapi Tuhan balas kebaikan aku dengan balasan yang setimpal, atau mungkin lebih sebenarnya. Seolah-olah dibalas kebaikan diberi satu botol minuman probiotik, Vitagen yang tadinya mengandungi beratus ribu bakteria L.casei. Bakteria jenis ni baik untuk kesihatan usus dan perut kita.

Entahlah, aku tak reti nak buat ayat kat atas ni. Kalau nak selit unsur hadis atau firman Allah lagi la tak pandai. Erkk. Itu je la yang aku reti. Buat perbandingan guna mikroorganisma. Ye la dah biasa terbelit lidah sebut Klebsiella pneumoniae. Dah biasa eja Saccharomyces cerevisiae. Eja pun tak boleh salah walaupun satu abjad. Nak tulis nama bakteria pun kena italic, ataupun tulisan normal tapi underline. Kang tak dapat markah full. Dah biasa hafal perbezaan bakteria gram positif dengan gram negatif. Eh, Lactobacillus gram apa ye eheh? Assalamualaikum!

08 May, 2017

Mak sakit apa?

Kat dalam klinik ni, kita macam berada dalam pasar raya besar contohnya Giant. Kenapa? Apa yang sama? Hehe kita tak perasan pun panas ke, hujan ke, petir ke. Kalau rajin menjenguk ke tingkap kaca tu nampaklah. Tapi aku bukan jenis tak reti duduk diam. Dah ‘cop’ bangku tu, memang kat situ je la aku duduk tenung skrin nombor giliran sambil jeling jam berdetik sampai la nombor giliran dipanggil.

Saban hari, ruangan menunggu dan bangku yang tersedia sentiasa dipenuhi pesakit tak kira tua, muda, jantina, bangsa, mahupun agama. Kukira kerusi menunggu yang tersedia masih tidak dapat menampung warga pesakit yang menunggu untuk mendapatkan rawatan. Tapi bilik pegawai perubatan bukan main banyak. Sampai berbelas. Ada yang sampai hujung, ada yang perlu ke kiri dan terus belok ke kanan. Belum cerita dalam setiap bilik itu ada dua orang MO (medical officer) ditempatkan bagi setiap ruangan.

Ada warga emas yang mengikuti lawatan tarikh susulan bagi penyakit yang dihidapi, ada remaja yang melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memenuhi syarat kelayakan ke institut pengajian tinggi, ada belia yang memerlukan rawatan disebabkan demam, sakit perut, atau mungkin cirit-birit, dan ibu mengandung yang memenuhi temujanji bagi konsultasi kandungan.
Kelihatan juga seorang makcik memegang buku rawatan. Fuhh tebal tu. Agaknya dah berapa tahun punya rekod tu. Mungkin buku untuk pesakit kencing manis. Di hadapanku pula ada seorang bayi yang pipinya masih kemerahan berselimut didukung ibunya. Merahnya pipi dia... Teringat pula kalau anak kucing baru lahir pun muka dia mesti kemerahan ataupun pink. Heh, aku ni asyik kucing je yang diingat. Apa ye masalah adik tu? Biasanya kalau baby kena jaundis kot. Di sebelah dinding pula seorang pemuda berdiri menyandar sambil setia memegang borang pengambilan darah. Oh, tunggu giliran nak buat blood test la tu.

Ada yang sibuk melayan panggilan daripada telefon bimbit. Bukan main lagi rancak berbual. Jururawat pula lalu lalang silih berganti. Kadang-kadang laluan sempit menjadi sesak oleh sebab ada yang menyorong pesakit menggunakan bantuan kerusi roda. Ada kalanya petugas kebersihan datang menyapu lantai bagi memastikan tahap kebersihan terjaga dan memuaskan.

Nombor giliran bertalu silih berganti bagi memanggil pesakit yang sedia menanti giliran mereka dipanggil konsultasi bersama medical officer. Setiap nombor giliran diasingkan mengikut jenis kes pesakit.
Aku tidak terkecuali menjadi sebahagian daripada mereka bagi setiap tiga bulan. Kadang tak tentu juga, dua bulan, ataupun empat bulan. Tapi kebiasaannya tiga bulan la kot. Ada juga pegawai perubatan lupa mahu beri tarikh susulan akan datang. Aii, doktor tak nak jumpa saya lagi ke? Chia chiaa chiaa.. (ayat pick up line tak jadi mungkin kena reject terus)

Kerana terlalu lama menunggu, Mama terpaksa ke tandas bagi menyah sisa toksik setelah ditapis oleh buah pinggang. Seorang pak cik menegurku. Kebetulan dia memang orang kampung aku. Jadi kenal la dengan aku.

“Eh, mana maknya? Dah masuk dalam jumpa doktor ke?” Tanyanya.

“Taklah, Mama pergi tandas.” Jawabku dengan senyuman tawar.

Bukan Mama yang sakit. Anaknya yang sakit la pakcik. Hmm.
------------

Unit Farmasi Klinik Kesihatan Batu Pahat juga langsung tidak kalah dengan ruangan menunggu di kawasan bilik pegawai perubatan. Paparan skrin nombor giliran juga silih berganti. Kadang-kadang terberhenti juga. Mungkin terlalu banyak stok ubat yang perlu didispens oleh pegawai farmasi. Agaknya la.

Tapi aku paling suka berada di sini. Sebab apa? Usha pegawai farmasi yang berdiri di kaunter hehe. Kalau ada yang handsome pergh lagi la nampak smart. Segaknya pakai white coat. Mulianya kerjaya mereka. Tolong orang sakit. Menjadi seorang pegawai farmasi juga merupakan salah satu impian aku. Walaupun aku tahu aku tak layak. Pegawai farmasi pun sama pangkat dengan pegawai perubatan. Jadi sudah terang lagi bersuluh dengan spotlight, aku memang tak boleh jadi pharmacist.

Aku suka perhatikan staf di unit farmasi. Aku gemar melihat cara mereka berkerja melayan pesakit. Sebab, impian aku pun ingin tolong pesakit. Sebab, aku tahu macam mana rasanya jadi orang sakit.

Sabar menunggu giliran untuk pengambilan ubat. Mama duduk di belakang aku. Agak sukar aku mahu ajak berkomunikasi. Jadi, aku diam sahaja. Aku bukannya jenis orang peramah dengan orang yang tak dikenali. Suka-suka nak tegur makcik sebelah aku, sakit apa cik? Suka-suka nak berkenalan dengan orang sebelah walaupun umur sebaya dengan aku? Tak. Aku pemalu. Kadang aku senyum je. Speechless la nak berbual. Lagi kalau ada mamat handsome, memang taklah aku nak cuba tegur. Ermm tapi setakat ni macam tak pernah lagi terjumpa mamat handsome kalau kat klinik!

Kalau orang tu tegur aku, barulah aku beri respons. Kalau orang tu ramah bercerita, aku anggukkan sahaja. Ikut mood juga la. Time malas melayan, aku jeling orang sebelah pun tak. Habis apa aku buat? Main phone je la. Tak habis-habis dengan game. Lagi buat apa? Apa lagi? Kemaskini status kat media sosial la... Snap gambar nombor giliran lepas tu upload kat facebook.

What’s on your mind?
Refill ubat bla bla bla
Follow up bla bla bla

Check in to Klinik Kesihatan Batu Pahat

Kalau aku bawa bahan bacaan, aku baca la buku tu. Kat sini ada Mama sebagai teman jadi boleh la dibuat kawan berbual. Tak payah kawan dengan orang lain. Macam tu pulak?

Kalau masa study kat UiTM, time kau pergi klinik. Mesti seorang diri kan? Habis tu macam mana dengan sikap kau?

Eh sama la macam yang aku cerita tadi. Kalau ada mood, berbual la dengan orang, kalau tak ada mood, aku baca la lecture notes. Tapi walaupun test atau quiz dah nak dekat sekalipun, then kau study baca lecture note, tetap tak boleh masuk otak. Bukan pasal aroma ubat-ubatan atau bahan kimia. Suasana tak sesuai la kot. Orang lalu-lalang. Kadang-kadang bising.

Seorang wanita warga emas menegurku. Dia memang duduk bersebelahan aku semenjak dari kehadirannya ke sini.

“Dik, demam ke? Atau ambilkan emak punya ubat?”

Aku mendengus. Aku menggeleng. Tuduh Mama lagi yang sakit.
“Taklah, ambil ubat saya punya.”

“Sakit apa dik?” Makcik tu salah tafsir rupanya.

“Sawan.” Aku tak malu mengaku aku ada penyakit sawan.

“Oh, kena makan ubat hari-hari la ni?” Tanya makcik tu lagi.

“Aah.” Aku dah lali dengan ubatan yang aku ambil tiap hari.

“Sekarang ni penyakit apa yang sibuk orang cakap tu? Bika?” Makcik itu berseloroh.

“........” Aku cuba memahami butir-butir yang cuba disebut.

“Demam apa? Bikaa? Virus bikaa?”

“Oooh, itu virus Zika.” Adui makcik ni. Teringat pulak keropok sayur makanan ringan jenama Bika. Jajan kegemaran aku masa kanak-kanak. Masa tu harga dia sebungkus 20 sen je.

“Haa Zika.. Haritu saudara makcik ada doktor suspect dia kena virus Zika tu. Habis semua nurse datang rumah dia kat taman perumahan tu, satu keluarga semua kena check.”

“Oooh.. Habis kena betul ke makcik?” Isu menarik ni... Yela, budak course Mikrobiologi la katakan... Terus terbayang lecture note subjek Virology Madam Iwana Izni.

“Entahlah tak tahu. Yang makcik tahu diorang cuma baru nak check haritu.”

Perbualan kami berhenti di situ.

Argghh lupakan subjek Virology. Ini bukan masanya nak bayangkan bacteriophage singgah dan penetrate kat sel kita. Ini bukan masanya nak fikir Herpes virus bentuk dia yang mana. Ini bukan masanya nak ingat balik Lytic and Lysogenic process.

Sakit hati juga la bila ke klinik dengan Mama, orang mesti persoalkan mak kita ke yang sakit?  Tolong ambilkan ubat untuk mak kita ke? Bengang juga la. Memang semua orang tak tahu masalah sebenar kita tapi jaga sikit mulut tu. Tolong ubah tanggapan tu. Jaga hati orang. Ubah stigma tu sikit.

Hello, I’m trying to tell you... Saya ni yang sakit. Bukan emak saya. Pembetulan, bukan Mama saya. Mama saya sihat walafiat. Cuma sakit-sakit sendi itu ada la. Biasa la usia dah semakin menginjak.

Saya tahu, riak wajah saya ni tak nampak macam orang sakit kan? Saya nampak sihat kan? You wrong judge myself... Kalau saya rebah kat lantai kekejangan sambil mulut berbuih on the spot kat situ, mesti tak sangka kan? Eh, budak ni tadi normal tiba-tiba je kena sawan?

Hai orang sekeliling, saya redha saya diberi penyakit macam ni oleh Tuhan. Saya redha dengan status penghidap epilepsi. Saya redha bila kena telan pil setiap hari. Saya redha dengan ujian hidup macam ni.

Just one wish, saya harap bukan Mama saya yang ada penyakit macam ni, ataupun penyakit lain yang hinggap kat Mama. Saya minta tolong doakan Mama saya sihat walafiat, panjang umurnya. Doakan saya sempat balas jasa Mama. Saya nak bahagiakan Mama saya.

Saya tahu, saya bukanlah anak yang solehah, solat tunggang terbalik, aurat belum sempurna, kerjaya tetap pun belum ada. Tapi saya masih mencuba, saya masih mencari arah untuk berubah, saya masih lagi dalam usaha. Saya nak penuhi segala impian Mama. Saya nak bawa Mama tunaikan haji. Doakan saya berjaya balas jasa Mama saya ye? (sambil menaip, air mata bergenang)


Petikan dari sebahagian diari novel hidup Iza. Cerpen ini ditambah khas sempena sambutan Hari Ibu pada 14 Mei 2017 (setiap minggu ke 2 hari Ahad bulan Mei setiap tahun) dan juga sempena masuk tahun ke 6 doktor diagnos Iza menghidap epilepsi, juga jatuh pada bulan Mei. Iza harap dengan post ini dapat buka mata semua orang. Hargai jasa ibu kita. Selamat hari ibu, Mama... Dan juga, semoga Iza kuat mengharungi liku kehidupan penyakit ni. Assalamualaikum!