13 May, 2015

3 Tahun Berlalu

3 Tahun Berlalu

Bismillahirrahmanirrahim....

Dedaun kelapa sawit yang menghijau melambai-lambai ditiup sang angin. Bayu yang bertiup perlahan sungguh mendamaikan. Burung berkicauan menyanyi riang di udara kampung itu. Matahari kian terik memancarkan cahayanya. Bahangnya kian terasa. Tentunya titik-titik peluh pekebun-pekebun kecil yang sedang mengusahakan kebun mereka kian deras. Salah seorang daripada mereka adalah Abah. Dia membayangkan wajah Abahnya yang berpenat lelah mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarga kecil mereka. Membanting tulang demi mencari sesuap nasi. Bekerja keras untuk memastikan dapat membiayai perbelanjaan pendidikan anak bongsunya yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara. Walaupun keringat membasahi tubuh, namun tidak sedikitpun Abah mengeluh. Tidak sedikitpun berganjak dari terus mengusahakan tanaman kelapa sawit. Abahlah tulang belakang mereka.

Sayu mengenangkan hakikat hidup. Ditambah lagi salah satu tarikh yang dia takkan pernah lupakan dengan begitu mudah. Peristiwa itu bermain di mindanya.

13 Mei 2012, Ahad

"Mari makan". Dia langsung tidak mengendahkan ajakan Mama untuk makan bersama. Waktu itu kakak dan abang iparnya ada di rumah kerana mahu berniaga di pasar berdekatan. Kakaknya jarang pulang ke rumah kerana sibuk menguruskan perniagaannya secara kecil-kecilan. Sepatutnya peluang untuk makan bersama itu digunakan sepenuhnya bagi mengeratkan hubungan. Namun, sejak dari tadi kepalanya berdenyut-denyut. Pening katanya. Berat rasanya. Lalu dia pun hanya membawa diri. Dia cuba hilangkan kesakitan dengan menonton televisyen. Tiada sedikitpun rasa lapar waima mahu makan tengahari. Fikirannya berkecamuk. Seperti ada sesuatu yang memenuhi fikirannya. Iya, masalah. Emosinya terganggu. Petang itu, dia langsung tidak berasa lapar. Tiada selera makan langsung. Perlahan-lahan dia membaringkan diri. Cuba untuk menenangkan diri. Cuba untuk menghilangkan rasa sakit di kepala yang kian berdenyut. Lalu dia pun terlena.

Sekitar jam 4 petang, lalu bergegarlah seisi rumah dengan jeritan panik. Jeritan panik oleh kakaknya yang kerisauan melihat adiknya kekejangan. "Mak ! Tengok adik ni Mak !" Mamanya yang berada di halaman rumah terus berlari meninggalkan pasu bunganya. "Ada apalah si kakak tu terjerit-jerit. Nak kenakan adiknya lah tu" Tetapi Mama mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena di dalam rumah.

"Tengok adik ni Mak. Dia tak sedarkan diri." Betul. Tubuhnya digoncang namun tiada respons. Apa yang ada hanyalah keadaannya yang tidak sedarkan diri. Mulutnya berbuih bercampur darah. Matanya separuh terbuka ke atas. Bibirnya bertukar menjadi warna biru. Wajahnya pucat. Bersungguh-sungguh Mama cuba menyedarkan anak bongsunya sambil menangis namun tidak berhasil. Sangkaan Mama dia sudah meninggal dunia.  Mungkin kerana termakan racun atau terkena kanser disebabkan anaknya sering mengadu sakit perut. Seluruh seisi rumah tergamam menghadapi situasi yang tidak pernah terfikir mungkin berlaku di depan mata mereka. Suasana hening bertukar menjadi gamat. Seisi rumah menjadi kecoh. Jirannya yang mendengar jeritan panik mereka turut bergegas berlari ke arah rumah mereka untuk memastikan apakah yang sedang berlaku.

"Kita bawa dia ke klinik lekas !" Lalu abang iparnya mendukungnya untuk dimasukkan ke dalam kereta. Semua yang melihat kejadian itu bergegas menaiki kereta termasuk jirannya. Dalam keadaan cemas, Mama dan jirannya tidak sempat pun untuk menyarung tudung kerana dipanggil menantunya agar membantunya memasukkan anaknya ke dalam kereta.

Setibanya di klinik, sayangnya, ketiadaan doktor. "Maaf, doktor tiada buat masa ni. Bawa ke hospital jelah. Maaf ye." Hendak di bawa ke klinik lain pun berkemungkinan ketiadaan doktor. "Jomlah bawa ke hospital." Lalu kereta Proton Exora berwarna putih itu pun meluncur laju di jalan raya sambil menyalakan lampu kecemasan.

Dia terasa seperti sedang baring di dalam kenderaan. Dia membuka mata perlahan-lahan. Apa yang dilihat ialah dia sedang dalam sebuah kereta. Iya ni kereta kakak. Wajah-wajah yang berada di hadapannya juga dia kenal. Mama, jirannya. Dia menoleh, itu kakak, dan abang iparnya sedang memandu. Yang menjadi tanda tanya mengapa dia berbaring di riba Mama ? Kakinya berlunjur dipangku jirannya. Seingat dia sudah lama dia tidak dipangku Mama jika tidur di dalam kereta. Seingat dia kali terakhir dia merasakan dipangku Mama hanya semasa dia bersekolah rendah. Dan yang menambahkan kehairanan mengapa Mama dan jirannya tidak memakai tudung ? Dia juga tidak memakai tudung ? Ke mana dia sekarang ? Ke mana mereka hendak menuju dengan keadaan sebegitu ? Kenapa dia langsung tidak ingat apa-apa ? Kenapa ?

"Adik..." Mama perasan dia baru sahaja sedarkan diri. "Adik tadi kenapa ? Mulutnya berbuih, matanya ke atas, kaki dengan tangan terangkat, muka pucat, bibir biru. Adik tadi kenapa ? Kita pergi hospital ye ?" Bertalu-talu pertanyaan Mama tetapi tiada satu pun dia mampu jawab. Tiada sekelumit pun dia mampu ingat apa yang berlaku beberapa minit tadi. "Hah ?" Hendak membuka mulut pun terasa lemah. Tubuhnya juga lemah. "Dia tak ingatlah tu" Jirannya menyampuk.

Situasi ini sama dengan yang pernah dialaminya sewaktu mewakili sekolah dalam pertandingan cabaran catur beregu di salah sebuah sekolah di pusat bandar. Baru sahaja dia bergembira kerana baru sahaja menewaskan pihak lawan yang merupakan peserta dari sekolah berbeza, serta mata dia rebah ke lantai. Rakan sekelasnya yang melihat kejadian itu tidak mampu melakukan apa-apa kerana terlalu panik. Guru dan rakannya yang membantunya turut mengatakan dia seperti terkena sawan. Tetapi dia langsung tidak mengendahkan. Dia langsung tidak percaya. Penat dia cuba memikirkan apa sebenarnya yang berlaku. Letih dia cuba mengingat apa yang terjadi namun tiada jawapan. Perlahan-lahan dia menutup matanya kembali. Sakit kepala yang dirasakan tadi kian berdenyut.

Sebaik sahaja dia membuka mata, dia merasakan kereta baru sahaja berhenti. Sebaik pintu dibuka, dia didukung dan diusung ke wad kecemasan. Dia hanya terpinga-pinga mengapa perlu di bawa ke hospital ? Dan kenapa dia tidak ingat apa-apa ?

Ruangan wad kecemasan Hospital Batu Pahat itu menjadi saksi ribuan pesakit dirawat oleh pegawai perubatan. Betapa bertungkus-lumus mereka bertugas demi memastikan nyawa pesakit dapat diselamatkan. Berada di ruangan seperti itu buat pertama kalinya memang menyeramkan, apatah lagi seorang diri tanpa ditemani insan bernama Mama. Sebentar tadi sebelum dirawat, ke semua waris pesakit tidak dibenarkan menunggu di dalam bersama pesakit.
Seorang doktor lelaki berbangsa Cina bertanyakan masalah. "Iya, ada apa masalah ?"
"Ni mulut berbuih, badan kejang, muka pucat, kaki tangan dia kejang terangkat ke atas, mata ke atas." Terang kakaknya.
"Oh, sawan ?" Doktor itu memastikan jika pesakit memang menghidap sawan.
"Tak tahu lah. Mungkin." Balas kakaknya.
"Kamu siapa ?"
"Saya kakaknya. Ini mak."
"Oh, keluarga tunggu di luar."
Sempat lagi Mama memujuknya agar tidak takut ditinggalkan bersendirian. Maklumlah baru pertama kali ke hospital.
Jadi terpaksa dia tabahkan hati berseorangan. Pasrah saja lah untuk diapa-apakan. Penemannya adalah secucuk jarum di tangan yang disambungkan dengan tiub berisi air serta tiub oksigen di hidung. Sakit ! Sewaktu dicucuk dia menjerit di dalam hati "Sakitlah ! Buat perlahan sikit tak boleh ke ?!" Getusnya.

Jam menunjukkan sekitar 5.30 p.m. Seorang doktor wanita yang merawatnya di wad 5 itu bertanya "Adik ingat apa-apa tak ?" Dia hanya menggeleng sambil kebingungan. "Adik ni dah tak boleh stress, jangan penat sangat, adik ni dah tak boleh buat aktiviti lasak macam aktiviti air, mandi air terjun, join camping, masuk hutan, tak boleh bawa motor seorang diri, jangan berdiri bawah matahari lama sangat." Terkebil-kebil dia mendengar kata-kata doktor muda itu. Setelah bermacam-macam persoalan ditanyakan kepada kakaknya, diagnosis doktor mengesahkan dia menghidap Epilepsi. Waktu itu, dunia yang terang seakan-akan bertukar menjadi gelap. Seolah-olah masih tidak percaya dengan kata-kata doktor wanita itu.

Malam itu, pertama kali dia menginap di wad hospital sebagai pesakit. Pertama kali jugalah dia merasa prosedur diambil darah. Baru sahaja melelapkan mata, seorang jururawat mengejutkannya bangun dari tidur.
"Dik, bangun, ambil darah"
"Cis, dah lah tak boleh tidur, baru hendak tidur, sudah dikejutkan" Getusnya di dalam hati.

Pengalaman berada di wad juga telah membuka matanya akan betapa pentingnya peranan pegawai perubatan serta staf dan kakitangan hospital terutamanya di bahagian wad kecemasan. Betapa mulianya tugas mereka.

Tepat 24 jam keesokan hari, barulah dia dibenarkan keluar dari wad. Dua hari tidak hadir ke sekolah menyebabkan dia ketinggalan menduduki peperiksaan pertengahan tahun. "Macam mana aku nak cakap dengan kawan-kawan yang aku ni ada sawan ? Apa pulak nanti kata cikgu-cikgu ? Ish malunya."

Bunyi kucing mengiau menyedarkan dirinya yang hanyut dalam kenangan. Dia tersedar dari lamunannya. Kucing berbulu putih itu perlahan-lahan mendekatinya. Dia memangku kucing itu. Dipeluknya erat. Kisah silam yang terjadi itu biarlah ia berlalu. Biarkan. Dia harus kuat. Lalu bermulalah hidupnya sebagai penghidap Epilepsi. Salah satu penyakit yang tiada penawar. Namun kini dia cekal menghadapi dugaan hidup. Semoga dia tabah mengharungi liku-liku hidup yang bakal mendatang.

Nota :

Ha dah baca dah kisah kat atas tu ? Mula-mula nak tulis sikit jer, tapi faham-faham la Za memang minat buat karangan, cerita-cerita essei, tapi last-last panjang jugak. Biasalah orang kalau minat menulis ni tak dapat dibendung. Haha kadang nak tergelak bila baca balik. Ayat tak pandai sangat nak buat yang sedap macam kakak buat. Kakak pernah dapat saguhati pertandingan menulis novel. Novel dia diterbitkan. Tajuknya Gugurnya Kuntum Sena. Jadi Za berjinak-jinak nak masuk bidang penulisan jugak. Menyambil je.Hmmm.

Ok lah tarikh ni lah Za disahkan menghidap Epilepsi. Dah 3 tahun berlalu tapi masih segar dalam ingatan. Seriously Za tak ingat apa-apa yang berlaku masa kena tu, tapi Za cuba terjemahkan situasi tu melalui penceritaan saksi-saksi yang melihat kejadian tu. Sesudah digabungkan, inilah hasilnya tadaa ! Sebenarnya panjang lagi cerita tu, ada dalam simpanan Za. Itu dalam karya cerpen Za yang Za tengah usahakan. Haha berangan. Bila masuk bulan Mei, Jun, Julai ni, macam-macam peristiwa yang dah berlaku. Huhu sentimental pulak saat-saat macam nie. Sengaja Za masukkan cerita nie, buat pengajaran tentang kesedaran penyakit Epilepsi. Lagi pun nie tengah bercuti panjang ada la masa nak menulis. Nanti masuk semester baru tak menyempat je. Dalam 2 minggu nie banyak peristiwa berlaku, Hari Ibu, Hari Guru, esok nak ke Bandar Batu Pahat ke klinik nak ambil ubat pulak. Hmm. Bilalah nak berhenti makan ubat ni.

Oh ye, minggu lepas Za dapat 5 ekor anak bulus baru ! Marie dah selamat melahirkan anak masa 9 Mei, around pukul 7 petang sampai malam, 1 hari sebelum Hari Ibu. Masa tu tarikh sepupu kenduri kahwin atau bahasa jawanya 'kondangan'. Tercapai jugak hajat nak menimang baby bulus masa tarikh hampir Hari Ibu tu. Tapi sekarang dah tinggal 4, tak tahu ghaibnya ke mana seekor lagi, mungkin dia mati kena makan ibunya tak tahu la, tapi harap dapat hidup keempat-empat ni. Nama nantilah dulu Za belum beri lagi. Kesempatan ini juga Za nak wish selamat Hari Ibu. Terima kasih Mama, kite sayang Mama. Ok lah, penat dah menulis. Tunggu entri baru nanti Za masukkan ye. Terima kasih sebab baca ayat panjang berjela tu. Bye bye, Assalamualaikum !



No comments:

Post a Comment