Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada sahabat non-muslim.
Cuti semester kedua Iza dalam pengajian ijazah sarjana muda. Jadi, baru la sempat menulis di blog. Sebelum ni busy dengan minggu kuliah. Sekarang dapat relax.
Jadi, entri kali ini, adakah bertajuk epilepsi siri kedua? Entahlah. Hehe. Mungkin. Atau bukan kot. Whatever la.
Iza pernah bercerita tentang apa itu epilepsi dalam post blog pink ni beberapa tahun yang lepas. Hanya tekan link ini kalau belum baca. Sedikit huraian berkenaan maksud epilepsi dan cerita hidup Iza. Dah lama dah post ni.
Jadi kali ni, mungkin ini adalah post tentang epilepsi siri yang kedua, Iza nak menyingkap isu semasa serta realiti kehidupan kami yang mungkin orang tak akan nampak.
Sebelum itu, Iza teringat waktu rawatan susulan di klinik. Macam biasa la, doktor akan tanya bila last kena attack? Bila Iza jawab dalam beberapa bulan yang lepas, dia mengangguk. Lepas tu, keluar pertanyaan ini pula,
“Ada drive (memandu)?”
Dan Iza mengangguk sambil tersengih menampakkan sebahagian gigi Iza yang agak tersusun secara crowding ataupun senang cakap bersepah. Hmm, bila la nak dapat pakai braces nak betulkan gigi. Okey, sambung cerita tadi.
Jujur mengaku ada memandu kenderaan, iaitu menunggang motosikal. Iza memang biasa menunggang motosikal, tapi jarang memandu kereta. Iza belum mahir lagi memandu kereta, tapi ada kedua-dua lesen memandu. Kalau disuruh menunggang motosikal, memang tahap pro juga la hehehe. Kalau diberi peluang memandu kereta, hehe teruja sangat. Jarang nak dapat pegang stereng kereta. Mak ayah tak ada kereta. Huhu sedih. Kalau contoh sudah sampai tahap kecemasan atau darurat, boleh la kot Iza pandu kereta tu, asalkan tayar bergolek. Hahaha. Tapi dengan kelajuan 30 km/h. Hahaha (gelak besar).
Cuba teka apa reaksi doktor bila seorang pesakit epilepsi ambil risiko memandu kenderaan sendirian?
Bulat matanya. Faham la kan bila doktor bagi reaksi macam tu.
Kadang-kadang doktor memang bertanya, Iza ada lesen memandu ke? Dengan bangganya Iza mengangguk, hehe siapa tak bangga kan ada lesen memandu, bukan setakat pada kelas B2, tapi kelas D pun ada. Memiliki lesen memandu ni ibarat satu kebanggaan. Sebab kita layak memandu kenderaan di jalan raya. Kalau boleh, bukan setakat lesen kereta & motosikal, tapi kalau boleh lesen memandu bas pun Iza berminat nak ambil.
Pernah juga doktor bagi amaran, “kamu tahu kan, bahaya diserang sawan waktu menunggang motosikal, boleh bayangkan apa akan berlaku?” Hmmm. Kadang-kadang doktor sampai penat membebel nak jelaskan perkara yang sama. I know risiko memandu. Bahaya.
Haaa, ini la hal yang Iza nak singkap. Isu memandu di kalangan pesakit epilepsi.
![]() |
Link blogger ada pembetulan... ini link lama :) |
Nak dijadikan cerita, dalam beberapa bulan yang lepas, kami digemparkan dengan kejadian kemalangan maut melibatkan pesakit epilepsi yang diserang sawan ketika memandu. Mungkin dalam kalangan pembaca blog Iza yang sedang membaca post Iza ni boleh meneka kejadian kemalangan maut, lokasi dan siapa yang terlibat dalam nahas tersebut. Al-Fatihah untuk mangsa. Takziah untuk keluarga mangsa.
Okey, rasanya tak perlu la terlalu spesifik melibatkan siapa atau di mana. Terlalu banyak sebenarnya kejadian nahas jalan raya melibatkan pesakit epilepsi yang diserang sawan ketika memandu. Cuma Iza tak tahu berapa statistik kemalangan yang berlaku tu sebenarnya. Ini hanya tulisan blog. Tiada rujukan dari sumber yang rasmi.
Isu sebegini telah lama menjadi perbahasan mengapa pesakit epilepsi sendiri dilarang daripada memandu atau mengendalikan kenderaan. Sebab apa? Atas risiko serangan sawan yang tidak terkawal. Iza sendiri juga telah ditegah daripada memandu oleh doktor, sejak bermulanya hari admission di wad hospital setelah dikejarkan ke kecemasan kerana serangan sawan selama 5 minit. Dan dalam beberapa rawatan susulan bersama pakar, Iza memang berterusan ditegah daripada memandu kenderaan. Waktu itu, terasa hidup Iza hancur. Masa depan rasa kelam. Rasa tak berguna. Itu tak boleh, ini tak boleh. Remuk hati Tuhan je yang tahu.
Waktu zaman sekolah tingkatan 5, Iza menaiki motorsikal seorang diri ke sekolah, atas sebab lebih mudah. Waktu tu peperiksaan SPM makin dekat, jadi tiap hari akan ada kelas tambahan di sekolah, dan kadangkala masa pulang ke sekolah tak menentu. Jadi, Iza main rembat je motor Abah. Hehe. Abah pun akur. Tak perlu susah payah hantar dan ambil ke sekolah kan? Akan tetapi, nak dijadikan cerita, waktu bulan Mei masa tu, Iza diserang sawan dan doktor diagnos menghidap epilepsi. Jadi, semenjak dari itu Iza dilarang menunggang motorsikal bersendirian. Jadi, kembali ke rutin seperti dahulu, mak ayah la yang mengambil peranan untuk hantar dan ambil Iza dari sekolah. Jadi, rasa tak dapat hidup bebas macam dulu, kadang-kadang terpaksa tumpang kawan kalau nak ke mana-mana, atas bimbang risiko serangan sawan.
Bila dah agak lama, Iza perasan Iza hanya diserang sawan ketika tidur. Jadi, semenjak itu la Iza berani sikit nak menunggang motorsikal. Hehehe.Best tau kalau dapat menunggang motor. Kadang-kadang, bila doktor tegur, kenapa berani memandu? Jadi Iza explain, erm, saya kena attack waktu tidur je. Hehe, so macam okey la tu. Tapi risiko nak kena waktu dalam sedar tetap ada. Jadi kena hati-hati. Jangan ikut ambil risiko macam saya ye sekalian.
Teori Domino mungkin boleh menjelaskan kita mengapa keadaan status epilepsi melarang pesakit daripada memandu kenderaan ataupun mengendali mesin. Pembaca mesti tahu kan, macam mana domino berturutan antara satu sama lain? Bila sebuah domino jatuh, ia akan bersentuh pada domino yang berada di sebelahnya, dan begitulah seterusnya.
Jadi, mengikut turutan, faktor yang pertama akan mempengaruhi faktor yang seterusnya. Jadi, faktor yang pertama dan kedua itulah yang kita perlu elak untuk mencegah faktor ketiga dan seterusnya daripada berlaku.
Kita teruskan pada memetik kepada Domino Theory @ Teori Domino, terdapat beberapa faktor penyebab kemalangan, iaitu:
Human (manusia)
⇩
Unsafe act (aksi bahaya)
⇩
Unsafe condition (keadaan tidak selamat)
⇩
Accident (Kemalangan)
⇩
Dead/Injured (mati/cedera/rugi)
WHAT IS ACCIDENT?
An unexpected, unplanned event in a sequence of events
That occurs through a combination of causes
Which result in:
-Physical harm (injury, ill-health or disease) to an individual -Damage to property -Death -A near-miss -Any combination of these effects |
Ini hanya aplikasi teori kemalangan daripada topik insiden, dalam subjek Occupational Safety & Health yang pernah Iza pelajari sewaktu semester 2 dalam pengajian ijazah.
Sekiranya tiada aksi bahaya atau keadaan tidak selamat, kemalangan boleh dielakkan. Jadi, dalam hal pesakit epilepsi yang diserang sawan ketika memandu, ini merujuk kepada aksi bahaya dan keadaan tidak selamat daripada manusia itu sendiri. Faham?
Selalunya, bila diserang sawan, kami tak akan ingat atau sedar yang kami diserang sawan. Jadi, boleh bayangkan, sedang memandu, tiba-tiba diserang sawan, apa yang berlaku? Kemalangan la jawapannya. Bergantung pada keadaan, ada yang hanya menyebabkan near miss atau hampir kemalangan, cedera atau mati. Tapi berita yang kebiasaan kita dengar, bila seseorang diserang sawan, mesti melibatkan kematian.
Iza sedih bila baca komen dari netizen di laman sosial yang menghentam tindakan mangsa nahas.
“Dah tau ada sawan, kau pergi pandu kereta lagi tu buat apa?”
“Ha, padah bawa kereta laju, lepas tu sawan datang, kan dah menyusahkan orang?”
Iza bukanlah nak menyebelahi pihak mangsa kejadian ataupun sesiapa. Tapi kita manalah tahu perancangan Tuhan. Kita sendiri tak boleh jangka bila, di mana, dan bagaimana ajal maut kita. Sebagai muslim, kita percaya pada qada’ dan qadar ketentuan Tuhan. Bagi non-muslim, Iza tak tahu nak ulas macam mana, maaf la ye Iza tak tahu ajaran agama lain hehe, tapi kita semua memang tak akan tahu perancangan Tuhan, betul kan? Kadang-kadang, walaupun kita dah berhati-hati, tapi kita tak akan menyangka, sesuatu insiden pun boleh berlaku.
Masyarakat tanpa usul periksa mengecam golongan kami. Tetapi,
Sejauh mana masyarakat sendiri faham realiti hidup kami? Tanpa secebis prejudis? Tanpa ada stigma dan tanggapan negatif terhadap golongan kami?
⤷Kami juga berkeinginan untuk hidup berdikari.
⤷Kami juga ingin merasa hidup normal seperti orang lain.
⤷Kami mahu jalani hidup biasa macam orang lain.
⤷Kami tak mahu bergantung harap pada orang lain.
Dah banyak kali Iza jelaskan. Kami sendiri tak tahu bila sawan akan menyerang. Kami tak dapat mengawal diri sendiri jika diserang sawan. Hidup kami bergantung pada ubatan. Ubatan yang kami makan bukannya berfungsi untuk merawat, tetapi untuk mencegah dan mengawal sawan daripada berlaku. Penyakit sawan tak mudah untuk hilang, tapi ada juga individu yang pulih sepenuhnya daripada serangan sawan, cuma risiko untuk diserang sawan masih ada.
Kebiasaannya, atas nasihat doktor, pesakit sawan yang sudah bebas daripada serangan dalam masa jangka yang panjang barulah dibenarkan untuk memandu. Tetapi dengan syarat, masih dalam pengambilan ubatan dan pengawasan ahli keluarga atau orang sekeliling. Jadi, macam mana pada yang masih kerap diserang? Kalau atas saranan doktor, kami memang dilarang sama sekali. Tapi, tipulah kalau tak ada golongan kami yang ingkar nasihat doktor. Sebab apa? Sebab alasan yang Iza dah senaraikan kat atas. Kami nak berdikari, kami nak hidup normal macam orang lain. Banyak lagi sebenarnya alasan, dan kadang-kadang kami memang terpaksa untuk memandu. Lain la kalau kita ni insan berduit dan mampu menggaji pemandu, kalau kita berduit, dah lama kita buat macam tu, betul tak?
Iza sendiri pun ingkar dengan nasihat doktor yang melarang daripada memandu. Kebiasaannya, jika mahu memandu, pastikan ubatan diambil. Kalau rasa tak sihat, elakkan dari memandu. Dan Iza kebiasaannya diserang sawan semasa tidur, jadi Iza berani ambil risiko untuk memandu. Lagipun, sebelum serangan, mesti akan ada serangan aura, atau tanda amaran serangan sawan akan berlaku. Jadi, jika diserang aura, elakkan dari memandu. Tapi, itu semua bergantung pada keadaan masing-masing. Jadi, entri ni taklah menjawab kepada persoalan bolehkah sebenarnya pesakit epilepsi memandu. Jawapan yang relevan ialah, sejauh mana tahap pesakit epilepsi masih boleh mengawal serangan dan keadaan pesakit itu sendiri. Okey? Nak jawapan yang lebih tepat, rujuk pada yang pakar ye!
Dalam doktor melarang Iza daripada memandu, tetapi Iza tetap punya keinginan dan impian. Iza mahu jadi seorang rider dengan motosikal berkuasa tinggi berwarna merah jambu mungkin pakej sekali dengan Hello Kitty. Iza juga berimpian ingin memiliki sebuah kereta, tak mewah pun, setakat Viva, Myvi, Axia ataupun Swift, dan berwarna merah jambu. Pink itu wajib, sepertimana blog Iza yang sangat pink ini. Maaf kalau sakit mata. Iza tak minta kereta mewah pun, kereta Kancil pun okey jugak. Comel tau Kancil ni, kecil, mudah nak cari parking, mudah nak selit kat celah-celah. Hehe. Kalau mampu beli sebuah kereta Kancil pun dah cukup syukur. Lagipun Iza tak biasa memandu kereta, jadi berimpian mahu kereta yang bersaiz comel, tak perlu yang besar dan gah. Apatah lagi yang mewah. Tapi mana tahu kan, murah rezeki Tuhan beri kat kita, siapa tak nak memiliki kereta mewah juga kan?
Jadi, punya status epilepsi bukanlah satu penghalang untuk kita berimpian atau bercita-cita tinggi. Jadikan cita-cita kita sebagai penguat semangat untuk terus survive. Be positive! Macam Iza, Iza tetap bercita-cita mahu menjadi seorang Safety Health Officer, mahu bertugas di Petronas, dan mahu memiliki kereta idaman berwarna merah jambu. InsyaAllah, semua di kalangan kita juga mampu capai impian hidup kita. Sama-sama kita kuat ye!
Sebelum mengakhiri post, maaf kalau Iza menyinggung keluarga mangsa tragedi atau sesiapa, sebab Iza tak berniat nak salahkan sesiapa. Ini hanya perkongsian, realiti hidup kami, cabaran hidup dan kisah golongan kami. Iza bukanlah orang yang layak untuk mengulas isu ini tapi sekadar perkongsian pandangan. Iza tak pernah rasa malu nak kongsi kisah komuniti pesakit epilepsi, sebab nak tingkatkan kesedaran epilepsi dalam masyarakat. Jadi, semoga blog pink ini dapat jadi sebahagian usaha Iza dalam komuniti kami. Assalamualaikum!