12 May, 2018

Kompleks Dahlia Sunyi Sepi

Bismillahirrahmanirrahim



Kompleks Dahlia sunyi sepi. Seakan-akan tiada penghuni. Cuti umum sempena kewajipan mengundi.

Terus terang aku tak jalankan kewajipan aku sebagai rakyat Malaysia untuk sertai pemilihan kuasa secara demokrasi berparlimen. Jadi tak ada keperluan untuk aku pulang ke kampung halaman. Tapi niat teringin mahu pulang ke Batu Pahat ada juga terbit di hati. Tapi aku batalkan niat mahu pulang ke kampung. Pasti tiket perkhidmatan bas sudah habis terjual. Perjalanan pasti sesak terutama di kawasan tol masuk dan keluar lebuh raya. Kenderaan pasti padat tidak kira dari menghala arah utara atau selatan. Ah, tak payahlah balik kampung. Lagipun aku dah tak homesick. Sabar, tak lama lagi nak balik kampung lagi kan?

Aku merenung ke arah kaca jendela menghadap blok kediaman pelajar. Blok Kolej Dahlia 1 yang megah berdiri setinggi 10 aras terletak bersebelahan dengan blok kediamanku. Blok inilah satu-satunya yang boleh dilihat dari Kompleks Alam Bina. Kukira majoriti rumah kediaman pelajar sedang gelap-gelita. Lebih dari separuh penghuninya telah meninggalkan kolej kediaman masing-masing sejak Isnin yang lalu. Masing-masing kelihatan teruja untuk pulang ke kampung. Pemilik gerai di medan selera juga kelihatan teruja untuk bercuti hinggakan tiada satu buah gerai pun yang beroperasi dan seterusnya membuatkan para pelajar kelaparan.

Aku menoleh ke arah meja belajarku. Ruangan papan putih penuh dengan segala tulisan dan memo tentang tugasan yang perlu dilaksanakan. Mujur kelihatan kemas dan ceria oleh sebab dekorasinya aku hiasi dengan klip memo hiasan kucing bersaiz mini yang sangat comel. Gigih aku hias semata-mata untuk menaikkan semangat belajar. Sebab aku suka benda-benda comel dan ceria. Boleh dikatakan aku seorang yang periang. Masih segar dalam ingatanku sewaktu zaman diploma. Teman serumah kepada rakan baikku bertanyakan personaliti diri aku.

“Kawan awak yang datang tadi tu memang periang eh?” Dan dia pun mengiyakan. Aku sendiri tak sangka ada orang yang nampak aku sebagai seorang yang periang. Mungkin personaliti aku mudah berubah bergantung pada keadaan dan situasi sekeliling.

Rak penyimpanan barang di bahagian atas dipenuhi dengan deretan susunan buku rujukan yang sudah lama boleh mengundang sawang dan habuk. Jarang sangat aku sentuh waima membelek buku-buku tersebut. Antaranya adalah buku rujukan bagi subjek Anatomy & Physiology, Biochemistry, dan juga Chemistry. 

Di situlah juga tersimpannya segala stok makanan ringan, susu, dan makanan segera pada rak di bahagian atas. Apa yang boleh aku katakan tentang stok simpanan mi segera aku adalah boleh diklasifikasikan sebagai darurat. Hal ini kerana hanya tinggal beberapa peket mi segera perisa kari sahaja yang tinggal. Namun tiada pilihan lain walaupun aku rasakan semakin muak untuk dihadam. Tetapi mujurlah koperasi pelajar masih beroperasi seperti biasa. Dapatlah para pelajar membeli makanan ringan untuk alas perut taktala kebuluran.

Apa yang ada di atas meja belajar hanyalah sebuah komputer riba kesayanganku yang asyik terpasang sejak dari semalam. Tugasan banyak menanti untuk diselesaikan. ‘Hirach’ , laporan makmal dan laporan mini projek, manakala lecture note banyak menunggu untuk ditelaah. Subjek kawalan vektor sudah lama tidak kutelaah. Entah apalah khabarnya segala spesies nyamuk, tikus, kutu, lalat, lipas, dan makhluk perosak yang lain? Sambil-sambil itu, lagu-lagu sentimental kegemaranku senantiasa berkumandang dari corong saluran YouTube. Salah satunya adalah lagu Semangat Yang Hilang yang pernah dipopularkan oleh kumpulan XPDC pada tahun 90-an. Lagu itu bagus untuk menaikkan semangatku yang hilang. Sentiasa bergema memenuhi kesunyian di kamarku. 

Aku menoleh ke arah gitar akustikku yang tersadai di atas katil. Di sini tiada guitar stand yang boleh menempatkan gitar kesayanganku. Akan tetapi, gitar aku itulah satu-satunya sahabat yang menjadi penemanku taktala aku berasa sunyi. Bila aku berasa bosan sahaja, pasti aku capai ia. Pick gitar terus aku geledah. Pasti beberapa buah lagu akan aku petik. Dan sekarang aku sedang gian memainkan gitar lagu Semangat Yang Hilang. Asalnya, aku hanya memainkan strumming kord gitar secara rawak. Ku petik kord C, F, dan G. Macam pernah dengar bunyi nada lagu ini? Jadi aku gigih memulakan misi pencarian lagu tersebut. Dan aku berhasil menjumpai empunya lagu ini. Oh, rupa-rupanya lagu Semangat Yang Hilang.

Nah, ajaibnya kuasa bermain gitar. Baru sebentar tadi kurasakan semangat aku mulai hilang, kemurungan mula melanda diri, kebosanan mula menguasai suasana. Aku terus mencapai gitar Mentreel dan memetik nada. Terus aku ditemukan dengan sebuah lagu yang seakan-akan melambangkan situasi diri aku. Terus aku cuba memetik nada pada korus lagu tersebut. Yess. Memang syok lagu ni.

Bermain gitar memang sesuatu yang menyeronokkan bagi aku. Ditambah pula kenangan menyertai pertandingan persembahan dalam Battle of the Band di UiTM Shah Alam pada bulan lepas. Pengalaman itu masih lagi indah tersemat dalam memori. Salah satu pencapaian terbesar dalam hidup yang sangat aku banggakan.

Aku mengerling ke arah katil lagi. Sebuah beruang teddy berbentuk kucing terbaring di atas tilam. Kenangan bergraduasi dan bergambar potret dengannya menjadi memori paling tak dapat aku lupakan. Sayangnya aku padanya hinggakan majlis konvokesyen pun aku bawa. Saiznya yang bulat berbentuk bantal peluk dan sangat enak untuk dipeluk pula setia menemani aku sepanjang waktu tidurku di kolej. Fizikalnya yang bulat mengingatkanku kepada Momot si kucing, satu-satunya kucing jantan kesayangan kami sekeluarga yang berada di kampung. Apalah yang dia tengah buat agaknya? Mesti kerjanya tidur tak ingat dunia, lepas tu bangun tidur lapar, mengeow kacau Abah dengan Mama. Rindunya kat si bulat tu.

Aku asyik berkira tarikh cuti pertengahan semester dan Ramadhan yang akan datang tidak lama lagi. Ramadahan akan menjelang hanya beberapa hari sahaja lagi. Kemudian cuti pertengahan semester selama seminggu pada minggu ke 3 Ramadhan. Cuti inilah yang akan aku manfaatkan di mana aku akan dapat pulang ke kampung untuk berpuasa bersama keluarga sekaligus dapat berjumpa kucing kesayanganku.

“10.....11.....12......13 Mei...... Oh, ini tarikh trip pergi Penang” Jari telunjukku asyik membelek pada bulan ke lima dalam helaian kalendar tahun 2018 masihi.

Pandangan mataku tertancap pada tarikh 13 Mei. Macam familiar je tarikh ni. Hmmm. Bukan fasal tarikh sejarah Malaysia yang berlaku rusuhan kaum setelah pilihan raya. Memanglah termaktub dalam sejarah Malaysia dan kejadian itu tetap menjadi sejarah dalam negara. Tapi, bukan fasal kejadian itu yang aku nak ulas. Tapi, hari berlakunya sejarah dalam hidup aku. Peristiwa itu masih lagi segar dalam ingatan. Tarikh yang mengubah hidup aku. Tarikh itulah aku menjadi seorang pesakit masalah neurologi. Dan status itu belum dapat dilucut dari kamus hidup aku. Hidup aku masih lagi bergantung dengan ubatan sehingga kini.

Genap 6 tahun hidup aku bergelumang dengan ubatan. Serangan yang terakhir berlaku adalah pada bulan Februari yang lalu, semasa cuti semester di kampung. Itupun sebab kedegilan aku yang malas untuk menelan pil. Dapatlah akibatnya. Aku melarikkan skrin telefon pintar lalu membuka aplikasi My Epilepsy Journal. Rekod data menunjukkan sudah 97 hari aku bebas dari serangan. Hal ini bermakna sudah 3 bulan seizure free.

Setakat ini aku masih lagi kuat dan bertahan. Harapannya sekurang-kurangnya sampai habis semester ini. Sebabnya aku langsung tak beritahu rakan serumah tentang keadaan diri aku. Ramai yang pertikaikan tindakan aku. Kenapa tak beritahu? Baik kau terus terang, nanti apa-apa hal berlaku kan susah?

Tak. Bukan semudah itu aku boleh beritahu. Selagi aku boleh bertahan, aku boleh lagi simpan status aku. Hampir kantoi pun pernah juga, masa itu ubatan aku bersepah di atas meja. Mujur tiada siapa bertanya akan hal itu. Kalau tak, mahu jawab macam mana? Ingat senang nak mengaku, hmmm, saya menghidap epilepsi. Lepas tu, mesti orang pelik sambil muka berkerut, hah, penyakit apa tu? Kalau aku jawab, saya pesakit sawan, kemungkinan semua orang tahu apa itu sawan, tapi aku yakin, tak semua orang akan faham, apa itu sawan sebenarnya. Aku yakin, ramai yang akan salah faham dan ada tanggapan buruk tentang masalah neurologi ini. Sebab itulah bukan mudah nak mengaku pada sesiapa. Jadi, baik aku berdiam sahaja. Sampai masanya kalau aku bersedia nak beritahu, baru aku cerita masalah aku.

Kukira sudah tiga hari aku tidur berseorangan. Teman sebilikku awal-awal lagi sudah bercuti pulang ke kampung. Pesannya lagi, lebih seminggu dia akan bercuti. Aku hanya menganggukkan sahaja.

Teman serumahku pula asyik bertanyakan hal yang sama. 

“Betul ke tak balik kampung? Berani ke tidur seorang? Betul ni tak balik kampung?”

Dan acapkali aku mengiyakan pertanyaan mereka. Relaks la, aku tak kisah pun seorang diri. Aku tak takut pun tidur seorang diri. Cuma harap jangan fit seorang diri dan tak ada sesiapa nampak sudahlah. Kemungkinan aku boleh diserang sawan semasa tidur sentiasa ada. Tapi aku pandai-pandai la jaga diri. Takkan asyik nak bergantung harap pada orang lain? Aku pun boleh berdikari macam orang lain jugak. Berdiri di atas kaki sendiri.

Eh, kejap. Tak berani tidur seorang diri? Tak ada nak dijadikan isu pada diri aku. Ye, aku memang berlagak, nak beritahu semua orang, kalau boleh satu dunia aku nak beritahu, aku berani tidur seorang diri. Perlu ke risau tidur seorang diri, hanya sebab takut dengan gelap, takut diganggu sesuatu? Ni aku nak beritahu, jadi orang tu jangan terlalu penakut sangat. Ni aku nak pesan, jangan terlalu manjakan diri, asyik nak berteman ke mana-mana. Aku biasa tidur seorang, dan acap kali serangan sawan berlaku waktu tidur, dan tak ada sesiapa nampak dan boleh tolong aku beri first aid kalau aku sedang fit. Risiko Tuhan nak tarik nyawa pada masa itu tinggi. Jadi, keperluan aku untuk tidur berteman itu lagi lebih memerlukan dari orang lain. Tapi itu bukan menjadi isu yang aku nak sangat orang teman aku tidur. Sebab apa? Sebab aku tak kisah.

Boleh nampak tak kesimpulan yang aku cuba bagi? Mungkin semua orang tak akan pernah terfikir hal ini kan? Iya, aku tahu, sebab orang tak tahu keadaan diri kita, jadi aku cuma nak bagi kesedaran, cuba hidup tak perlu bergantung harap dengan orang lain? Cuba jadi lebih berdikari? Kadang-kadang ada orang yang lebih memerlukan, tapi kita sendiri tak perasan, kita sendiri pun tak tahu, tapi cuba fikir, benda ringkas macam ni pun takkan tak boleh?

Maaf kalau aku lantang bersuara. Maaf kalau aku lancang bercakap. Maaf kalau aku merendahkan orang lain. Maaf kalau ada yang terasa. Aku cuma nak menyampaikan apa yang terbuku dalam hati. 

Nah, inilah kisah aku: peristiwa 13 Mei dalam kamus hidup aku

Assalamualaikum.