Assalamualaikum! Haa tengok tajuk tu. Nampak gempak tak? Ehem, walaupun nampak macam nak bebel pasal babi, tapi Iza masih ingat adab sopan, beri salam dulu, & baca kalimah Bismillah. Kalimah suci ni mesti tak tinggal. Bukan apa, mudah-mudahan segala ucapan, perbuatan, atau kata-kata kita diredhai Allah. Kalau nak carut, ada kau baca Bismillah? Takde kan? (senyum sinis)
Rasanya ramai je manusia yang mencarut. Iza pun tak terkecuali termencarut juga kadang-kadang. Selalu part kalau tengah drive la, ada pengguna jalan raya nak belok ke simpang tak beri signal, haa itu la paling obvious Iza akan carut. Macam mana la tak kena carut dengan Iza, kau menyusahkan pengguna jalan raya lain.
Iza tak sebut pulak pasal babi. Macam mana pulak dengan babi? Orang Melayu, Islam, tapi sebut babi bila mencarut. Tandanya apa ye? Babi tu hina? Babi tu kau sebut untuk lepaskan geram? Musibah atau orang yang kau benci tu kau samakan dengan babi? Apa salah babi sampai dia jadi tempat lepas geram kau? Hina sangat ke babi tu? Tak boleh ke cuba Istighfar? Kan lebih elok didengar. Pahala dapat, dosa pun boleh dikurangkan.
Dalam konteks agama Islam, dan Iza sendiri pun seorang muslim. Iza tak pernah pandang babi tu sebagai seekor binatang atau haiwan yang patut dihina. Islam haramkan umatnya daripada haiwan yang bernama babi kecuali siput babi & kutu babi (Iza pun tak faham kenapa binatang parasite ni disebut kutu babi). Sentuh, makan, barangan diperbuat daripada babi, ataupun sekecil sel sahaja pun tak dibenarkan.
Tak bermakna babi dalam Islam tak dibenarkan, kita terus tolak tepi. Dah alang-alang haram tu, kita hina terus? Dia pun makhluk Tuhan. Ada sebab Allah jadikan dia. Ada sebab Allah haramkan babi untuk kita orang Islam. Tapi tak bermaksud haram segalanya. Contohnya, orang non-muslim upload gambar babi di Facebook atau Instagram, orang Islam masih boleh tekan like. Kalau ada anak babi tu nampak comel, orang Islam tak dilarang nak puji kecomelan anak babi tu. Tak bermakna yang namanya babi tu, dia hodoh. Ada juga babi comel. Iza pun tak terkecuali selalu tengok gambar babi yang orang bukan Islam upload di media sosial. Bukan setakat babi, anjing pun sama. Bila nampak comel, Iza mesti nak komen kecomelannya tu. Lagi-lagi bila seorang pencinta kucing, bila kucing dah bertakhta di hati, haiwan lain contohnya anjing pun kita boleh toleransi. Kita cepat rasa kesian bila tengok anjing terbiar. Bila nampak anjing hampir lemas atau cedera, kita mesti rasa nak tolong walau macam manapun. Walaupun kita tak boleh sentuh dia, tapi ada juga waktu darurat yang kita dibolehkan sentuh dia.
Tapi cuba kau fikir balik, ada masanya babi pun dibenarkan dalam Islam. Contohnya vaksin. Ada vaksin yang kita terpaksa buat atau ambil sedikit dari babi untuk dijadikan penawar dalam sesuatu penyakit. Mungkin daripada babi sahaja penawarnya, itu dibolehkan. Dalam maqasid syariah, kalau dah sampai keperluan guna bahan yang diperbuat dari babi, itu tak mengapa diharuskan demi kemaslahatan masyarakat. (Sampai ke tak point Iza ni?)
Sebut je pasal vaksin, teringat pulak virus. Haa, baru-baru ni gempar pasal virus Rabies atau bahasa Melayunya dikenali sebagai virus yang menyebabkan penyakit anjing gila. Kes penyakit ni dah semakin meningkat kat Malaysia. Bukan setakat anjing, haiwan lain contohnya kucing ataupun manusia pun boleh berjangkit sekali kalau terkena gigitan daripada anjing yang ada virus Rabies ni. Ok dah teringat pulak lecture note subjek Medic zaman UiTM. Punyalah menghafal simptom & cara penyakit ni membiak. Rindu semua tu. Teringat masa test subjek ni, Iza tak berapa faham point soalan yang dia nak, tapi dapat jawab juga la soalan tu sikit, and dapat markah cukup makan. Nak tahu sebab apa dapat jawab? Sebab hari-hari Iza tenung gambar yang kat bawah ni, masa tu dapat dari forward group Whatsapp. Bila fikir nota ni mungkin membantu dalam subjek Medical Microbiology, Iza simpan & tak delete. Alhamdulillah membantu juga. Kenangan manis juga la tu hehe.
Penyakit anjing gila. Iza tak pernah lagi nampak penyakit ni real terjadi depan mata. Cuma tengok dalam video je la. Seram jugak la bila tengok anjing yang ada virus Rabies tu meleleh air liur lepastu terlompat-lompat, kejang-kejang satu badan. Sebabtu kot bahasa Melayu disebut penyakit anjing gila.
Habis, sawan babi tu macam mana pulak? Gila babi tu macam mana pulak? Kenapa perlu ada babi dalam sebutan penyakit epilepsi ni? Rasa tak ada kena mengena langsung pun dengan babi.
Kejap kita buat perbandingan....
Anjing gila = Anjing tu yang gila
Sawan babi = Babi tu yang sawan? Memang la bukan babi tu yang kena sawan.
Gila babi (sama juga dengan sawan babi tu cuma nak perjelas sikit) = Babi tu yang gila?
Memang la bukan babi tu yang gila? Sekarang ni siapa yang gila? Maknanya kau anggap orang kena sawan tu gila la?
Yang kena sawan tu manusia, ataupun semua jenis makhluk yang memiliki organ otak boleh diserang sawan. Tapi kenapa perlu ada yang namanya babi? Kenapa perlu libatkan babi?
Wah, marah betul hakak ni yea... Yes, Iza memang naik angin bila orang ramai suka hati perlekehkan penyakit epilepsi. Rasa nak parut-parut je mulut-mulut tu guna mesin parut kelapa. Iza memang suka tolong Mama parut kelapa kalau memasak kat dapur. Bila bayang dapat parut mulut orang yang tak beradab, seronok pulak. Lepastu santan kelapa tu ibarat kita perah darah diorang. Kejam tak imaginasi Iza? Yehaaaa.
Ada sesetengahnya yang menegur Iza, itu cuma perumpaan orang tua-tua zaman dahulu. Iza pulak yang over. Okey, tapi cuba bayangkan kau kat tempat aku? Cuba bayang kau dihina, orang anggap kau gila, sakit mental, orang kutuk kau? Takkan kau tak ada perasaan kot? Walau sikit pun takkan tak terasa? Sedangkan aku ni yang orang nampak macam kuat, bila dengar orang hina aku, aku terus tak kuat. Aku terus berlari sejauh mungkin. Sejauh mana yang aku boleh. Aku tak mahu dekat dengan cacian tu. Aku terus teresak-esak cari ketenangan. Mujur ada kucing datang tenangkan aku. Aku takkan pernah lupa saat itu.
Bila chatting dalam media sosial, ada yang sempat menjenguk ke blog pink Iza ni ataupun wordpress. Ada yang tanya keadaan Iza ni macam mana. Ramai yang pm Iza sama ada dia sendiri atau keluarga yang ada masalah epilepsi ni. Iza akan sambut dengan baik kalau ada yang bertanya InshaAllah. Kalau ada terlepas pandang tu maaf la ye. Kadang line lambat tak dapat refresh.
Then, beberapa hari lepas, ada la seorang mamat ni tegur Iza dalam Messenger. Iza tengok keadaan la, kalau rajin, ada mood nak reply Iza balas la chat tu. Lagi-lagi lelaki kan. Sebab lelaki ni selalu dikaitkan dengan istilah gatal. Kalau perempuan tak kisah sangat. Dia tanya Iza ada masalah epilepsi ye? Iza pun iyekan je la. Bila tanya dapat tahu dari mana, jujur dia cakap terbaca kat wordpress. Okey! Tapi dalam hati Iza, alamak, aku tulis english kot dalam wordpress, kalau blogger baru bahasa Melayu. Tak tahu la ayat english dalam post kat wordpress tu betul atau tak hehe.
Lepas Iza mengiyakan yang Iza ada masalah epilepsi, dia pun reply, “ooh, sawan babi...”
Ooo, sawan babi yea? Apa lagi? Iza terus la panassss hati. Amboi sedap je mulut kau ea cakap sawan babi. Aku pun terus la start berceramah. “Rasa tak perlu la libatkan babi. Kami bukan gila. Epilepsi bukan untuk dihina. Ni la namanya orang Melayu kan. Semua nak libatkan babi. Bla bla bla bla bla.” And dia pun terus kaku, minta maaf atas keterlanjuran kata-kata dia tu. Nak Iza screenshot ke? Tak payah la. Kalau mamat tu usha blog Iza sekarang ni, harap dia terasa.
Iza memang tak faham kenapa orang Melayu perlu ada istilah babi dalam kehidupan seharian. Cuba cari istilah epilepsy (bahasa inggeris) dalam kamus? Apa dia tulis maknanya dalam bahasa Melayu? Mesti gila babi, sawan babi kan? Rasanya dah tak relevan zaman sekarang masih perlu panggil istilah penyakit epilepsi ni sebagai gila babi atau sawan babi. Mananya kami tak terasa. Nak biarkan tak perlu ambil peduli? Sampai bila-bila masyarakat tak akan faham penyakit sawan ni macam mana. Sampai bila-bila la orang akan pandang hina penyakit ni. Sampai bila-bila la penghidap epilepsi ni kena kutuk, kena caci, & masyarakat pun anggap kami gila. Stigma ni kena ubah!
Tapi macam mana? Nak kena buat sidang media? Nak kena umum dalam berita? Nak kena tulis dalam surat khabar? Nak kena buat proposal supaya hapuskan istilah gila babi dalam kamus? Mungkin Iza tak mampu. Iza cuma mampu macam ni. Bebel seorang diri dalam blog. Bagi kesedaran sikit-sikit. Itupun usaha kan?
Eh, dah petang, Iza terlupa lagi nak makan ubat yang waktu pagi punya!!!!
Assalamualaikum!