Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum....
Haritu Iza ada berbual kosong dengan Mama pasal epilepsi yang Iza hidapi sekarang ni. Rupa-rupanya bukan setakat ayah saudara sebelah emak yang ada penyakit ni, ada lagi seorang sepupu sepapat Iza yang menghidapi penyakit ni. Kisah ni dah lama cuma Iza baru tahu ceritanya. Orangnya dah tak ada pun. Arwah anak lelaki kepada nenek saudara Za. Nenek tu adik-beradik dengan nenek Iza. Arwah meninggal waktu zaman kanak-kanak lagi. Arwah dikatakan meninggal dunia waktu mandi-manda dalam parit kat kampung dan diserang sawan. Al-Fatihah. Tak sangka pulak nenek tu ada anak yang dah meninggal sebab penyakit ni. Patutlah nenek tu rajin bertanyakan khabar Iza kalau dah lama tak jumpa. Hmmm.
Berkenaan ayah saudara pula, Iza panggil dia Pak Ngah la senang cakap. Abang kepada emak Iza. Umur dah 60+ tahun. Dia menderita penyakit ni sejak dari lahir. Iza nak ulas sikit keadaan dia sekarang dah OKU atau orang kelainan upaya maybe sebab kesan penyakit sawan yang tak dirawat dengan baik. Tangan kanannya agak lemah dan tak boleh berfungsi. Yang Iza kesian, waktu arwah atuk ajar Pak Ngah ni baca al-Quran, Pak Ngah takkan boleh baca semula mahupun ingat semula. Dia memang ada masalah pembelajaran dan susah nak ingat apa yang dah belajar. Pergi ke sekolah pun cuma nak cukup syarat pergi sekolah. Sekarang pun sampai sekarang dia tak tahu nak tunaikan solat, so tak jatuh kewajipan menunaikan solat la kan.... Cuma kalau puasa dia tahu jugalah bulan puasa tak boleh makan minum, so dia pun puasa juga cuma tak berniat la kot. Nak baca pun tak pandai. Nak bercakap pun agak payah.
Daripada Iza zaman kanak-kanak sebelum ada sakit yang sama dengan Pak Ngah ni, Iza rasa sangat kesian pada pak cik Iza yang seorang ni. Tak tahu la kenapa, tiap kali pandang dia, mesti terbit perasaan kesian pada dia sebab tak dapat jalani kehidupan yang normal macam manusia lain. Tapi Alhamdulillah, dia boleh juga berdikari sikit-sikit, even makan guna tangan kiri, boleh bancuh air panas sendiri, boleh berbasikal, dan dia rajin tolong nenek kat kebun.
Rasa kesal pun ada sebab Pak Ngah tak dapat rawatan yang sempurna sampai menjejaskan keadaan fizikal dia. Hmm macam mana la kan, zaman dulu atuk nenek kita masih susah, jalan kampung masih becak, belum ada jalan tar, kenderaan tak mampu, elektrik pun tak ada, bekalan air belum wujud. Kalau ada kelahiran bayi pun cuma kat rumah je la. Jarang sangat nak ke klinik terdekat apatah lagi ke hospital. Yang Iza tahu Pak Ngah cuma dibawa jumpa dukun, biasalah cara hidup nenek moyang kita memang biasa dengan rawatan dukun.
Walau macam manapun, Iza bersyukur walaupun ada sakit macam ni, Iza masih dapat rawatan yang sempurna daripada hospital dan klinik. Ubat-ubatan serta rawatan teknologi canggih dapat tingkatkan keadaan kesihatan masyarakat zaman sekarang.
Iza terfikir, rasa kesian yang selalu Iza rasa pada ayah saudara Iza ni macam berkait-rapat. Haaa lepastu Iza pula yang menghidap penyakit ni huhuhu. Kebetulan. Agak-agak bila orang dengar kisah hidup Iza, sama ke perasaan kesian diorang dengan perasaan kesian Iza terhadap Pak Ngah Za tu?
Okey ni Za nak share la sikit kisah sebenar yang berlaku waktu sawan kali pertama menyerang tapi yang kurang cerdiknya tak percaya diri sendiri diserang sawan & tak pergi hospital pun sebab Iza langsung tak tahu pasal sawan ni. Penyakit yang ayah saudara hidap tu pun Za tak pernah ambil tahu, sekarang ni baru la nak ambil tahu. Perkataan E P I L E P S I pun jarang dengar. Yang Iza ingat, kali pertama perasan perkataan ni masa terbaca rekod pergigian waktu pemeriksaan gigi zaman persekolahan tingkatan empat kot. Ingat tak kad warna hijau yang menggerunkan semua orang? Haha. Normal kan ada dentist datang kat sekolah buat spotcheck dan rawatan gigi secara percuma. Tertera pada kad di situ ada ruangan kena tanda jenis penyakit dan salah satunya ada ruangan epilepsi. Masa tu tertanya juga la apa benda epilepsi ni tapi Iza tak ada usaha langsung nak ambil tahu. Sekarang bila dah kena baru la rajin nak ambil tahu.
Sekarang kisah ni Iza dah masukkan dan gabung sekali dengan cerpen pasal kehidupan Iza yang masih sedang Iza hasilkan tapi belum lengkap lagi.
::::::::::::::::::::
3 November 2011. Kali pertama aku rebah. Bukan setakat rebah, bukan setakat pengsan, tapi diserang sawan. Sawan kot. Kau rasa?
Tarikh itu aku takkan lupa. Senang nak ingat. Ulangtahun kelahiran aku jatuh pada 13 November. Buang satu tarikh je. Lagipun tercatat pada sijil penyertaan yang aku peroleh walaupun tak dapat habiskan perlawanan hingga ke pusingan terakhir. Eh perlawanan apa pulak tu?
Pagi itu aku tak ada syak apa-apa pun. Sihat. Walafiat. Tak ada rasa pening-pening pun. Cuma cuak sikit. Biasalah, jadi wakil sekolah dalam pertandingan catur. Eleh macam la tak biasa. Tapi memanglah, rasa takut-takut pun ada, risau kalau tak menang. Itu je. Ala benda normal tu. Aku dah biasa sertai perlawanan catur bagi mewakili sekolah dalam peringkat daerah. Hanya itulah satu-satunya sukan permainan yang aku mampu kuasai walaupun belum menguasai sepenunhnya kemahiran. Mungkin sebab permainan ini hanya menggunakan minda, tidak seperti sukan permainan yang lain yang banyak menggunakan aktiviti dan kekuatan fizikal.
Sungguh aku memang tidak aktif dalam olahraga mahupun balapan. Aku paling trauma dengan kayu lompat tinggi. Kebiasannya pada pemilihan peserta, aku ambil jalan mudah, lari dan langgar sahaja palang tinggi itu walaupun terpaksa menanggung sakit dan malu. Biarlah. Aku paling benci sesi larian padang. Mesti aku paling tercorot. Aku memang failed bab bersukan.
Cabaran catur rapid terbuka. Kali ni bukanlah perlawanan di peringkat daerah MSSD macam aku selalu sertai. Perlawanan anjuran kelab catur di salah sebuah sekolah di daerah Batu Pahat. Perlawanan kali ni agak sedikit berbeza yang mana setiap sekolah mempunyai sepasang pemain, sepertimana permainan beregu. Aku digandingkan dengan salah seorang rakan yang merupakan classmate ku juga.
Aku dilawankan dengan seorang pelajar Cina. Wajah-wajah sebahagian dariapada para pemain catur sudah biasa aku tatap. Heh, orang yang sama je wakil sekolah tiap tahun.
Seperti biasa aku menekan punat pada jam randik. Buah catur aku gerakkan sambil otak ligat memikirkan taktik pergerakan. Perlu susunan strategi yang mantap. Fokus mata ke arah buah catur ‘King’ atau Raja untuk mematikan langkah barulah kerajaan yang ditadbir tumpas. Manakala buah catur ‘Queen’ atau Permaisuri perlu digerakkan dengan penuh hati-hati. Jangan sampai kehilangannya. Jika sudah kehilangannya, terasa hilangnya sebuah aset. Dia memainkan peranan paling penting dalam sesebuah permainan catur. Tanpanya, hilanglah kuasa, tanpanya, lenyaplah keberanian.
Tik tok tik tok. Detik masa terus berjalan.
Bukan setakat perlu berfikir dan menggerakkan buah catur, tangan perlu pantas menekan butang masa bagi memberhentikan masa dan terus masa pihak lawan berjalan. Perlu ligat berfikir. Tak boleh terhegeh-hegeh. Setiap saat mahal. Setiap langkah perlu dicatat pada rekod permainan.
Aku masih lagi tenang. Tak perlu kelam-kabut. Tak perlu melebih. Aku langsung tak menyangka seminit akan datang akan berlaku sesuatu kejadian yang aku takkan pernah sangka. Seumur hidup aku.
Dengan tenang aku gerakkan buah caturku yang terakhir.
................
“Checkmate.” Buah catur ‘King’ pada pihak lawan kematian langkah.
Checkmate. Satu-satunya perkataan yang melambangkan kemegahan pada penyebutnya. Kemenangan mutlak. Pihak lawan tewas. Rasa macam baru menang dalam sesebuah gelanggang peperangan. Iya, memangnya sebuah peperangan. Peperangan minda. Perlawanan kecerdasan otak. Kita kena bijak membaca pergerakan pihak lawan sebelum dapat mematikan langkah pihak lawan.
Aku menandatangani kedua-dua ruangan pada kertas rekod catatan permainan. Satu pada pihak lawan manakala satu lagi pada pihak aku. Begitu juga sama dengan pihak lawan. Selesai tandatangan, aku menjalankan tanggungjawab aku. Buah catur perlu disusun semula. Adalah menjadi tanggungjawab semua pemain bagi menyusun semula kesemua buah catur kembali kepada susunan asal pada papan catur.
Baru tiga buah catur aku sempat susun. Tiba-tiba.....
Satu perasaan atau aura yang tak dapat nak aku gambarkan datang menerjah ke dalam diri aku. Macam pernah rasa je perasaan ni. Ye, aku memang kerap didatangi perasaan sebegini. Rasa deja vu pun ada kot. Jantung berdegup kencang. Aku kebingungan. Takut! Dan....
Bamm!
Seorang budak perempuan yang tadinya sihat walafiat secara tiba-tiba collapse.
“Eh, kawan awak!” Pelajar cina itu menjerit. Classmate yang berada di sebelah aku yang sedang meneruskan perlawanan melihat aku tergamam dengan keadaan aku.
Aku di’checkmate’kan oleh cik epilepsi di situ sebagaimana checkmate aku pada buah catur pihak lawan.
:::::::::::::::::::::::::::
Gelap. Aku cuba buka mata. Sangkaan aku baru terjaga dari tidur. Tapi aku langsung tak ingat apa-apa. Maksud aku tak ingat kenapa aku tidur kat sini?
Dahi aku rasa sejuk. Tudung entah terbang ke mana. Stokin pun entah lenyap ke mana. Apatah lagi kasut entah melayang ke mana. Sebuah kipas dihalakan kepada aku yang terbaring berbantalkan beg di lantai kelas.
Aku dengar suara riuh rendah dari bilik sebelah. Pembetulan, kelas sebelah. Yang aku ingat, aku ke sini memang untuk perlawanan catur. Perkara terakhir yang aku ingat cuma babak pagi tadi waktu persediaan diri. Aku tak ingat langsung babak checkmate tu.
Guru pengiring mengelap dahi aku dengan tuala basah. Tuala kecil yang aku selalu bawa ke mana-mana sebagai lap tangan dan muka berguna juga pada detik-detik kecemasan. Aku memang dikenali sebagai seorang yang gemar membawa tuala kecil atau sapu tangan ke mana-mana sahajapun hinggakan seorang guru koperasi yang paling rapat denganku pun selalu menegurku. Hari ini tuala kecilku menabur bakti kepada tuannya. Seorang lagi guru yang tidak aku kenali turut berada di situ.
Bingung. Apa aku buat tadi? Tidur kat sini? Sebab? Aku langsung tak sedar sebenarnya itulah pertama kali sawan menyerang. Manalah aku tahu orang kena sawan tu sedar yang dirinya diserang sawan!
“Awak memang ada sawan ea?” Guru pengiring kami bertanya.
Aku pantas menggeleng. Sawan? Sawan tu apa? Tak rasa pun macam baru kena sawan? Masalahnya aku memang tak tahu langsung pasal penyakit sawan? Apa tu?
“Ingat tak apa yang berlaku tadi?” Tanyanya lagi.
Aku menggeleng lagi. Aku pengsan ke tadi?
“Tadi rasa apa?” Soalnya lagi.
“Gelap.” Itu yang mampu aku jawab sambil tubuh masih lagi lemah. Oh, aku pengsan la kot.
“Nak pergi hospital?” Cikgu bertanyakan persetujuan aku.
Aku hanya diam. Tak hiraukan keadaan sekeliling. Aku langsung tak ingat apa-apa. Buat apa nak pergi hospital? Bukan ke aku pengsan je tadi?
Aku hanya mendengar butir-butir perbualan dua orang guru wanita tersebut. “Mungkin dia stress kot. Tertekan.”
Stress? Tertekan? Tak adalah. Sihat je. Kenapa nak sampai pengsan? Aku rasa biasa je tadi. Ada ke perkara yang membuatkan aku stress? Pasal game tadi? Eh tak stress pun, biasa je, aku ok je. Peperiksaan? Kalau pasal exam memanglah aku baru lepas tamat peperiksaan akhir tahun tingkatan empat tapi aku tak rasa stress pun? Mungkin sebenarnya aku stress cuma aku je yang tak perasan kot.
Aku dibantu diambilkan bekalan makanan tengahari secara percuma oleh classmate aku menggunakan kupon yang diberi oleh pihak penganjur. Butir-butir nasi aku cuba jamah. Tak selera. Kek batik coklat yang dihulur cikgu pula aku cuba kunyah. Pun tak selera nak telan. Semua makanan tolak ke tepi. Aku disuruh meminum air putih. Rasa segar sikit.
Aku dikecualikan terus daripada menyertai perlawanan tersebut. Aku masih lagi kebingungan mengenangkan kejadian tadi.
:::::::::::::::::::::::::
“Macam mana game tadi?” Mama menanyakan perkembangan terkini tentang perlawanan yang aku sertai sebaik sahaja tiba di perkarangan rumah. Aku dihantarkan pulang menaiki kereta hingga ke pintu rumah oleh guru pengiringku.
“Kite tak habis main tadi. Ada dah dapat menang sekali lepastu pengsan.” Selamba aku menjawab.
“Ha? Pengsan? Tak pernah-pernah pengsan macam mana boleh pengsan?” Mama terkejut.
“Entah, kite pun tak ingat langsung.” Aku masih tak percaya dengan kejadian yang berlaku.
Cuma yang aku perasan, seluruh tubuh aku kesakitan. Sakit yang tak tahan, aku pergi mendapatkan khidmat urutan daripada orang sekampung. Kawan Mama. Aku cuma cakap yang aku pengsan sewaktu perlawanan catur. Kesimpulan yang aku jangka, mungkin kesakitan seluruh badan itu adalah kesan daripada aku terjatuh dari kerusi dan rebah ke lantai. Sebab itu sakit satu badan. Aku langsung tak sedar sebenarnya itu adalah kesan selepas sawan menyerang. Muscle stiffness results from jerking.
Seminggu selepas itu, aku mengalami demam. Aku langsung tak mengesyaki apa-apa. Di klinik sewaktu mendapatkan rawatan, aku hanya memaklumkan kepada Medical Assistant yang aku pengsan di sekolah. Padahal sebenarnya sawan. Ulang sekali lagi, sawan.
Minggu itu aku masih memikirkan kejadian yang baru berlaku sekali sepanjang hidup aku. Daripada dipenuhi berbagai persoalan, cuba aku minta kepastian Mama.
“Mama, sawan tu apa?” Aku memulakan perbualan sewaktu di dapur.
“Sawan tu macam orang pengsan, orangnya tak ingat apa-apa. Kejang-kejang. Mulutnya keluar buih. Macam yang selalu berlaku pada Pak Ngah dulu.” Jawab Mama ringkas.
“Yeke? Sebab haritu yang masa kite pengsan cikgu cakap kite kena sawan.”
Mama langsung tak beri sebarang respons. Aku pun masih tak percaya dengan saksi orang sekeliling. Tak percaya! Ah, lupakan je la!
::::::::::::::::
Rutin harian hidupku berjalan seperti biasa. Tahun 2012 menjengah. Aku melangkah masuk ke alam tingkatan lima. Tahun ini aku bakal menghadapi peperiksaan besar dalam hidupku.
Dalam kesibukan menempuh alam persekolahan, tekanan demi tekanan membelenggu hidupku. Aku stress. Aku tak tahan. Aku penat. Aku perlukan rehat. Namun tiada sesiapa memahami aku. Tiada sesiapa mendengar jeritan hati aku.
Bersambung.....
:::::::::::::::::::::
Lama Iza fikir kejadian ni. Malu pun ada. Menyusahkan orang. Bila terjumpa lagi guru pengiring yang pernah tolong Iza tu, aishh malunya rasa. Nak menyorok pun ada. Segan kot. Tapi terima kasih cikgu. Katanya baru pengalaman first tolong pelajar sakit sebab masa tu cikgu tu baru lagi. Haa mesti terpacak dalam ingatan beliau hehe.
Sekarang barulah Iza sempat bongkar semula kisah ni untuk tatapan pembaca blog Iza ni. Cerita ni berdasarkan kisah apa yang Iza alami waktu umur 16 tahun iaitu serangan sawan yang pertama. Itulah serba sedikit catatan waktu Iza kali pertama diserang sawan sewaktu perlawanan catur. Walaupun keluarga ada melarang Iza daripada terus bermain catur selepas kejadian itu, tapi Iza takkan mengaku kalah. Iza tetap teruskan dengan passion Iza dalam permainan ini. Alhamdulillah, sampai sekarang walaupun ada lagi sertai mana-mana perlawanan, Iza dah buktikan pada semua orang yang Iza takkan rebah lagi.
Serangan yang pertama berlaku sewaktu dalam keadaan sedar barulah diikuti serangan sawan kedua yang berlaku ketika tidur dan sampailah sekarang. Kisah Iza diserang sawan kali kedua tapi kali pertama berlaku depan family ada pada entri bertarikh 13 Mei 2015 bertajuk 3 tahun berlalu.
Itu sepatutnya serangan kedua kali tapi sebab Iza tak dapat recall pasal serangan yang pertama pada doktor, so doktor rekod itulah the first time. Sepatutnya kalau dah second time seizure Iza dah kena makan ubat alamak haha. Tak dapat bayanglah macam mana kalau kena telan ubat pil depan doktor masa kat wad tu, dah la Iza ni liat nak telan pil. Nak kena pujuk, nak kena telan guna makanan lembut baru boleh telan pil. Nak dijadikan cerita, Iza start kena makan ubat ni 3 bulan lepas admitted kat wad iaitu start appointment yang pertama. Doktor bagi tarikh temujanji dalam 3 bulan selepas serangan direkodkan. And kisahnya sepanjang 3 bulan tu Iza dah kena lagi so doktor dah suruh makan ubat sampailah sekarang. Jadi gap masa yang patut dah kena makan ubat tak jauh sangat la.
Berbalik pada kisah tadi, Iza langsung tak sedar rupanya itulah hari dan kali pertama seizure attack. Bila Iza kira, setelah lebih setahun Iza selalu didatangi aura atau tanda-tanda kecil sebelum sawan menyerang, tarikh itulah kemuncaknya. Iza tewas. Fuh nasib baiklah tak kena waktu kat kelas. Mesti lagi memalukan. Kalau macam yang terjadi ni kat sekolah orang, so orang kalau nampak pun diorang takkan kenal Iza. Tak dapat bayangkan macam manalah huru-haranya keadaan waktu tu. Kalau setakat ada orang pengsan tu, itu macam perkara biasa, kalau kena sawan? Kejang seluruh badan? Mulut berbuih? Mata terbeliak ke atas? Badan bergoncang? Kau rasa?
Macam mana dengan aura? Apa itu aura?
Aura ni satu perasaan yang datang dalam diri sebelum sawan menyerang. Dialah pencetus sebelum sawan berlaku. Dia ni ibarat tanda-tanda atau simptom kecil sebelum sawan terjadi. Kena jaga-jaga kalau aura datang takut Iza terus rebah nanti. Iza perasan aura ni dah selalu rasa semenjak dari form 2 atau form 3 la kot. Dan dia semakin menjadi-jadi waktu Iza naik form 4. Haa sebab masa naik tingkatan empat ni Iza memang dah tak dapat nak seimbangkan life Iza sebagai student yang penuh dengan tekanan dan kepenatan. Tapi itulah, Iza tak terfikir pun perkara ni ada kaitan dengan masalah neorologi yang Iza bakal hidapi. Nampaknya faktor genetik atau darah tu memang dah ada la sejak dulu?
Macam mana nak describe rasa aura tu ye?
Entahlah sampai sekarang Iza pun tak tahu nak cerita macam mana. Cuma yang dapat digambarkan, perasaan takut bercampur kebingungan. Iza paling benci bila didatangi aura sebab aura tu menyebabkan rasa takut yang secara tiba-tiba. Then, kebingungan tak tahu nak buat apa.
Kalau aura datang, Iza buat apa? Macam mana nak hilangkan aura?
Waktu didatangi aura, Iza takkan hiraukan keadaan sekeliling. Kalau sedang bercakap dengan orang pun, atau cikgu mengajar di papan hitam, atau memasak di dapur, Iza dah tak dapat nak buat apa. Cuma yang Iza buat, tenangkan fikiran. Cuba kawal rasa takut tu dengan ingat Tuhan. Iza orang Islam, so cuba baca ayat-ayat suci al-Quran contohnya ayat Kursi. Ye, walaupun kebingungan, fitrah Iza yang dilahirkan sebagai seorang muslim tak akan buat Iza lupa pada Maha Pencipta walau dalam keadaan apa pun.
Kadang-kadang, Iza tak dapat kawal aura tu sampai beri respons yang mungkin boleh merisaukan orang sekeliling. Ada juga beberapa kali waktu zaman persekolahan, Iza sampai menekup muka dan pejam mata kuat-kuat. Lepastu member yang duduk kat sebelah perasan dengan perubahan pada diri Iza terus tegur, “Kau kenapa?” “Are you okay?”
Iza dengar pertanyaan orang sekeliling tapi tak tahu nak beri respons apa. Yang cuma Iza boleh bagi jawapan, “rasa tak sedap hati” sebab itu jela jawapan the best Iza boleh describe tentang aura ni.
Waktu memasak kat dapur dengan Mama, aura datang menyerang dan Mama nampak kejadian tu. Aura datang, dan Iza macam nak menjerit, macam nak meluahkan sesuatu dan Mama nampak perubahan pada diri Iza. Terus Mama matikan dapur gas and tarik Iza. Kerusi pada meja makan ditarik. Iza disuruh duduk. Iza duduk dan pejam mata. Mama terus tenangkan hati Iza. Dibacakan ayat-ayat suci al-Quran. Iza turut ikut baca. Mama terus usap dada Iza sampailah aura hilang.
Bila berdiri, Iza cuma secara spontannya akan cari kerusi dan duduk lebih-lebih lagi bila berseorangan. Cari tempat selamat dan jauhi bahaya. Risiko dapat kecederaan lebih tinggi kalau serangan sawan terus berlaku. Kalau boleh baring, lebih baik. Selalunya Iza akan baring bila dapat peluang baring dan pejam mata sampai tertidur. Haha tapi itulah yang bahayanya juga, Iza selalunya dapat serangan waktu tidur pulak.
Sebenarnya aura ni pun berbeza juga pada setiap orang. Tak semestinya sama. Iza ada rasa kebas pada kepala dan tak semua penghidap epilepsi akan rasa benda yang serupa. Ni antara list penyebab yang boleh mencetuskan aura yang Iza boleh simpulkan menurut apa yang Iza selalu rasa:
- Tekanan yang melampau/stress
- Terlampau penat/tak cukup rehat
- Kurang tidur
- Keadaan sesak/ramai orang contohnya keadaan pasar malam
- Perubahan cuaca contohnya panas melampau atau sejuk
- Perasaan gembira pun boleh jadi aura
- Deja vu (perasaan macam sesuatu perkara, tempat atau masa yang kita pernah lalui dan terjadi sekali lagi)
Aura ni still lagi menerjah dalam diri tak kira waktu. Kalau aura datang, kena prepare and careful takut sawan menyerang lagi. Aura pun satu petanda untuk epilepsi menyerang. Bagus juga la sebab dia bagi kita warning supaya jaga-jaga bila nak buat sesuatau perkara. Bagus untuk ingatkan Iza juga dah makan ubat ke belum sebab bila aura datang baru nak terhegeh-hegeh ingat nak telan pil.
Okeylah itulah yang Iza boleh kongsi kisah keadaan serangan pertama dan cerita pasal aura. Moga bermanfaat. Assalamualaikum dan salam negaraku!