Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum!
Catatan hidup gadis penghidap Epilepsi muncul lagi. Cuti semester sebelum bermulanya semester 5 kali ni Iza penuhi dengan macam-macam aktiviti yang berfaedah (pada diri Iza la). Kalau memekak praktis gitar tu mungkin pada orang cakap tak berfaedah tapi pada diri Iza berfaedah. Dah lama woo tak praktis gitar. Tak ada la pandai mana pun, tapi tak boleh putus asa. Iza masih banyak lagi belum belajar. Masa lapang kali ni juga dipenuhi dengan melayan 7 ekor kucing yang dah macam zoo kat rumah ni. Iza nak tebus balik masa yang 2 bulan tak balik kampung & kali ni Iza nak puas-puas layan anak-anak bulus Iza.
Ingatkan sepanjang cuti ni relax je, ubat Epilim tu sentiasa la makan. Tapi entah la lupa jugak. Tapi masa week final exam sebiji pun tak tinggal. Yela tengah exam memang jaga kesihatan. Tapi hampeh bila dah habis final exam. Walaupun bangun awal lepas subuh tak tidur (jujur menyatakan kadang-kadang je bangun awal) tapi ubat yang patut makan waktu pagi pun makan pukul 3 petang. Konon nak berdisiplin la sikit lepas last fitting with seizure bulan Februari lepas. Tapi sama jugak aish!
Iza baru je acah-acah nak on time bila makan ubat, kalau tak on time pun at least jangan tinggal ubat walau sebiji pun. Doktor pesan kalau terlewat makan ubat tak apa asalkan jangan sampai tak makan ubat. Tapi lupa jugak, sebab rasa okey je, sihat je, tapi bila ‘aura’ datang, rasa pening, haaa baru ingat belum makan ubat kan? Seriously Iza memang berniat nak berubah, janji dengan diri sendiri tak nak tertinggal ubat. Tapi masa Iza follow up kat Klinik Kesihatan Batu Pahat kali ni dapat doktor yang banyak soal, sakai, membebel pulak, terus rasa malas pulak nak berubah.
Bandar Batu Pahat kian sesak dengan kenderaan lalu lalang. Pusat bandar yang menjadi tumpuan orang ramai semakin rancak. Dari satu sisi Klinik Kesihatan Batu Pahat juga sentiasa dipenuhi ramai orang. Ada yang datang berkerusi roda, ada yang berjalan menggunakan tongkat, ada yang mendukung bayi kecil kelihatannya masih kemerah-merahan. Para jururawat sibuk menguruskan kaunter pendaftaran para pesakit. Seorang wanita berbangsa Cina wajahnya menahan kesakitan, kelihatannya seperti baru lepas menerima suntikan. Lengannya masih ditekan kapas.
Sabar menunggu giliran. Melangkah masuk ke bilik pegawai perubatan, Za ternganga. 2 orang doktor lelaki (alamak dua-dua lelaki!) Kedua-duanya sudah bersedia dengan pesakitnya. Pemandangan biasa di ruangan kecil itu, white coat selalunya hanya tersarung pada kerusi, aroma ubat-ubatan sudah dilali. Tidaklah seperti di dalam rancangan tv yang biasa penonton lihat, doktor perlu lengkap dengan kot putih, stetoskop di leher. Ah realiti dan fantasi memang jauh berbeza.
Hmm Iza kena bebel pulaknya dapat dengan doktor lelaki. Kat klinik ni, satu bilik 2 orang doktor berhadapan antara satu sama lain. Patient duduk sebelah doktor tapi bertentangan. Lebih senang nak ambil bacaan blood pressure atau nak check guna stetoskop dan sebagainya la.
First sekali bila dia baca je rekod dari KK Kuala Pilah, dia tanya Za nak sambung semula susulan kat Batu Pahat ke? Iza pun jawab la sebab sekarang cuti sem sebab study kat Kuala Pilah.
Mana boleh macam ni nanti susah, rekod ada dua, sana sini sana sini.
Alamak! Tahu la tapi nak buat macam mana kan? Lepastu doktor satu lagi yang lelaki tu pun menyampuk, haah susah nanti rekod lain-lain. Hmmm. Mana boleh mana boleh tapi dia tetap terima Iza sebagai pesakit dia jugak kan?
Lepastu dia tanya lagi apa pasal Iza tak buat follow up awal-awal kat Kuala Pilah? Iza mana la tahu waktu ni dah cuti, dah habis final exam, dah balik kampung. Kita mana la expect sebab tarikh kejadian TCA atau To Come Again tu lagi 3 bulan. Follow up ni pun Iza terlewat satu hari.
Pergh dia punya nak meng’auta’ balik jawapan Iza, “tapi kan awak boleh je cakap kat doktor waktu dia beri lagi tarikh temujanji akan datang kan awak tahu ni awak dah balik Batu Pahat?” Iza pun cepat-cepat jawab doktor kat sana cakap boleh je sambung susulan kat Batu Pahat kalau tak boleh buat kat Kuala Pilah.
Pergh, dia punya nak menyakaikan orang lagi, soalan dia, “kan boleh je buat follow up kat Kuala Pilah sebelum balik?” Apa lagi Iza pun jawab la tak sempat. Iye, tak sempat + malas + tak cukup masa + kurang rajin + tak nak pergi, ala semua la tapi part ni Iza tak cakap la ye.
“Tapi boleh je kan awal-awal buat kat sana dulu sebelum balik” (Iza terjerit-jerit dalam hati, iyaaa tahu tapi busy dengan final exam!)
Iza tahu la dia ni acah-acah je tapi Iza bukan la jenis mulut laser yang boleh ‘balas’ balik mulut orang yang menyakai ni. Tapi walaupun dia tanya soalan macam-macam acah-acah tak bagi Iza sambung susulan kat situ tapi dia tetap layan Iza, dia tak ada la tak benarkan Iza dapatkan rawatan, maksudnya dia main-main je la tu. Nurse kat kaunter pendaftaran tadi pun bagi je Iza nak buat rawatan susulan kat situ.
Blood pressure pun normal, tak tinggi, 126/86 mmHg, pulse 79. Itu pun dia suruh bersandar kat kerusi, kalau tak, memang tinggi la bacaan dia jawapannya. Alhamdulillah selalu okey. Kiranya ubat Sodium Valproate yang Iza makan tu okey la, harap jangan la beri side effect lain, ubat tu garam, benda masin tapi bacaan tekanan darah okey tak tinggi maknanya okey la tu kan. Lagipun Iza jenis tak berapa makan benda masin. Tapi kalau berlemak tu favourite la.
Soalan selepas tu Iza dah sediakan jawapannya dahulu. Ini soalan typical MO yang mesti akan tanya pada Iza ? “Habis ni ada kena lagi tak?” Laju je Za jawab, haritu kena masa bulan 2. Awal-awal follow up dulu tak tahu doktor mesti tanya soalan tu, so Iza akan teragak-agak, tak berapa nak ingat la last attack bila kan. So sekarang Iza dah bersedia dengan jawapan tu sebelum sampai klinik lagi.
Ha soalan kedua ni pun mesti akan ditanya, “Kenapa boleh kena lagi?” Seizure triggers tu mesti dia akan tanya, penyebabnya memang tak makan ubat atau perkara lain contohnya stress, tapi kali ni memang menyakai habis la soalan dia, “Macam mana boleh kena? Awak tak makan ubat?” Haaa Iza iye kan je la sebab memang tak makan ubat pun. “Berapa lama tak makan ubat? Sebulan? Dua bulan?”
Perghh, yang sebulan, dua bulan tu(?) Iza tak tahan. Menyakai je lebih. Iza slumber je jawab, tak la, cuma 2 minggu. Eleh CUMA 2 minggu la sangat kan, padahal 3 minggu tapi tersasul cakap 2 minggu sebab 3 minggu tu dah dikira hampir sebulan kan. Ala lebih kurang la tu.
Bila dia tanya kenapa tak makan ubat? Simple je. Straight to the point. “Tak pergi klinik.” Tapi maksud yang tersirat tu, malas, tak sempat, busy, pak cik ambulans tu nanti bla bla bla, nak kena pergi UK (Unit Kesihatan) bla bla bla, kelas tertinggal bla bla bla, pergi sorang-sorang bla bla bla dan sebagainya la. Faham-faham Iza ni degil sikit. Pembetulan, memang degil.
Lalu sesi bebelan dia pun bermula. Apa pasal tak pergi klinik? Tahu kan awak sakit? Jangan bagi alasan tak sempat, sibuk, tak ada masa nak pergi? Sakit kan? (Iza pun mengangguk & iya kan aje “hmmm”) Mana boleh tak pergi klinik? Kalau dah sampai tarikh mesti kena pergi. Awak sakit kan? (Rasanya 4 kali dia ulang AWAK SAKIT KAN, dan Iza tersentak sekejap, aku..... sakit?) Jangan bagi alasan. Walau sibuk macam mana pun mesti kena pergi jugak. (Iza pun iyekan jela. Hehe rasa doktor pun faham kan life as a student busy macam mana kan.)
Kan Tuhan dah beri satu hari 24 jam, boleh bahagi masa nak pergi klinik? Alamak! Dia dah mula berceramah walaupun tangan kanan dia ligat menulis catatan pada rekod perubatan & slip preskripsi ubat. Iza duduk kat tepi sebelah kiri dia. Bulat mata dengar ceramah dia. OMG first time kot dapat doktor yang membebel lelaki pulak tu tapi nasib baik bukan yang jenis tegas, dia cuma menegur. Last Iza kena marah & kena bebel masa kat sickbay Unit Kesihatan tu sebab doktor tu memang garang. Tapi Iza chill je la. Dah dewasa ni, kena marah tak ada la rasa perasaan macam budak-budak dulu nak nangis ke apa tak ada la.
MO tu pesan lagi, kalau bukan awak yang nak jaga kesihatan awak, siapa lagi yang nak jaga? Tak ada kan? Awak seorang la yang kena jaga diri awak tu. Okey fine Iza iyakan je.
Lepas ucap terima kasih di atas segala bebelan & nasihat dia, Iza keluar. Iza pergi la timbang berat kejap. Ermm macam naik sikit berat badan. Huhuhuhu. Kena diet ni. Nimesti side effect ubat. Iza memang selalu menyalahkan ubat sebab ubat tu membuatkan Iza asyik mengantuk, penyedap makanan & akhirnya menambahkan berat badan. Huh ! Terus mengatur langkah ke unit farmasi untuk ambil ubat.
Okey, kena ambil positif dari teguran & bebelan doktor ni. Iya, apa yang dia cakap semua tu betul ada benarnya. Mesti korang baca kisah Iza ni geram kan tengok perangai Iza? Degil. Tak jaga kesihatan. Tapi Iza ni satu masalahnya, sekejap rasa give up, sekejap bersemangat. Sekejap rajin nak makan ubat, sekejap ah lantak la. Bila sakit tu datang, baru menyesal. Macam nak kurangkan berat badan jugak. Sekejap hati berkobar-kobar nak kurus, sekejap tak kisah la aku gemuk asalkan aku bahagia. Bila nak beli pakaian tak muat, baru menyesal.
Iza selalu rasa sihat je. Tu yang malas nak makan ubat. Bila doktor tadi tu tekankan perkataan AWAK SAKIT KAN baru Iza teringat, aku ni sakit? Okey Iza memang boleh terima dah memang kenyataan ada penyakit macam tu memang dikira sakit. Doktor pun faham sebab tu doktor tu tekankan perkataan SAKIT. Cuma sesetengah mentaliti masyarakat yang selalu anggap, gila, gila ****, sakit mental, tak betul, separuh gila, dan macam-macam istilah yang Iza tak dapat terima langsung! Dalam teater lagenda, LABU DAN LABI pun ada babak perihal sawan jugak tapi Iza boleh move on je.
Kadang Iza memang lupa Iza ada sakit. Sebabnya, penghidap epilepsi ni, dia nampak sihat je. Cuma bila sawan tu menyerang, baru orang akan nampak kita ni sakit. Kami juga digelar ‘invisible disabilities’. Kekurangan upaya kami bukan seperti OKU (Orang Kelainan Upaya) atau cacat yang boleh dilihat secara mata kasar. Kekurangan diri kami tak dapat dilihat. Ibarat seperti sindrom down, kita boleh lihat ciri-cirinya tapi sawan ni, bila berlaku je kita boleh lihat.
Reaksi orang sekeliling Za bila diberitahu Iza menghidap penyakit ni, Iza dapat baca fikiran mereka. Sebab Iza nampak sihat je. Dan ramai tak sangka yang Iza menghidap penyakit macam ni. Kecuali staff hospital atau klinik tu biasa la diorang memang pekerja bahagian kesihatan.
Kadang-kadang, Iza pujuk diri, aku ni sama macam orang lain tapi hakikatnya ada yang tak sama jugak. Tanggapan masyarakat. Iza pernah menangis seorang diri di bawah belakang blok kolej mengenangkan segala hinaan masyarakat. Iza tak nak roomate nampak Iza menangis sebab masa tu tersedu-sedu sangat huhu.
Waktu itu senja, matahari terbenam, menenggelamkan sinaran cahayanya. Laungan azan dari Pusat Islam memalapkan perasaan hiba ni sedikit demi sedikit seperti beransurnya waktu siang menjadi malam. Luka di hati dibawa pergi bersama tenggelamnya matahari tanpa ada sesiapa yang menyadari. Tapi mungkinkah akan ada harapan baru esok hari? Iya, ada, ia akan terbit bersama cahaya suria pagi. Bila sang matahari tersenyum menggeliat bangun pada keesokan hari, maka gadis itu patutnya tersenyum juga untuk bangkit memulakan hari baru.
Waktu tu Iza berhadapan dengan stigma masyarakat. Diorang tak adalah hina Iza secara straight sebab diorang pun tak tahu Iza ada sakit macam ni. Pergh mulut puaka ! Mulut longkang ! Waktu tu hati meluap-luap menahan amarah syaitan tetapi hati masih memujuk (sabar Za, sabar...) Tapi Za rasa sedih sebab Za terasa sangat hinaan tu ditujukan pada diri Za. Nampak sangat diorang tak ada kesedaran tentang penyakit epilepsi ni. Memang dah banyak kali Iza berhadapan dengan stigma masyarakat tapi kali ini memang menyengat dia punya cacian.
Dalam tengah sedih-sedih, menangis-nangis tersedu-sedu sampai tak boleh nak cakap apa, hati ni memang rasa hiba sangat, datang seekor kucing, kucing betina. Bulu dia warna calico (3 warna, putih campur hitam & kuning). Dia datang mengiau-ngiau kat Iza.
Lepastu dia gosok-gosok kepala dia kat kaki Iza. Iza usap kepala dia. Dia terus mengiau kat Iza. Cara dia mengiau tu seolah-olah dia memujuk Iza. Memang jujur Za dengar ngiauan dia tu secara terus automatik Za terus translate “awak janganlah sedih-sedih, awak tak keseorangan”. Sebab Iza dah selalu berbual dengan kucing so Za boleh agak la apa yang dia cakap.
Lepastu dia jilat-jilat tangan Iza. Allahuakhbar. (Tak geli ke? Buat apa nak geli? Lidah kucing ni la yang mujarab, penenang hati Iza) Iza jarang sangat jumpa kucing macam ni lagi-lagi kucing yang baru Za jumpa. Jarang sangat kucing nak jilat tangan Iza kecuali kalau tangan Iza sendiri ada bekas bau makanan yang menarik perhatian diorang, itu biasalah. Kucing Iza sendiri tak ada nak jilat-jilat tangan. Ini tangan Iza tak ada apa-apa bekas bau makanan pun. Waktu tu Iza rasa sangat terharu sebab ada lagi makhlukNya yang sudi teman & pujuk Iza waktu Iza tak ada siapa-siapa kat sini.
Kucing itu ku dakap erat. Aku sudah biasa memeluk seekor kucing. Tidaklah segebu mana seperti kucing baka Ragdoll tetapi sentuhan tubuhnya yang berbulu ini lembut memujukku. Kuusap kepala kecilnya. Dia mengiau. Semakin esak tangisanku semakin erat ku dakap. Dia merenung wajahku. Wajahku yang basah dengan tangisan air mata. Riak mukanya seolah-olah mengerti apa yang telah aku lalui.
Iza bukan nak cakap Za tak ada sesiapa yang boleh percaya untuk Iza buat tempat untuk mengadu. Allah ada. Iye, Allah ada. Allah la tempat pertama Iza nak cerita, Iza nak minta tolong, Iza nak menangis. Second, Iza akan call Mama sebab Mama la insan yang paling menyokong Iza. Nak cerita kat member, kadang-kadang fikir 2, 3 kali sebab segan tu satu hal. Lepastu malu la apa la. Tapi bila sorang-sorang, Iza lebih prefer luahkan perasaan pada kucing sebab Za percaya kucing pun boleh tenangkan keadaan kita bila kita sedih. Kucing faham apa yang kita cakap. Dan bila Za belai kucing, Za akan rasa tenang dan happy.
Iza ada call Mama, tapi waktu tu Iza langsung tak dapat nak cerita fasal kejadian tu sebab masa tu memang tahap hiba sangat. Sampaikan Mama suruh Iza call nanti bila Iza dah lega sikit & bersedia nak cerita segala-galanya. Malam tu, lepas Iza dah lega sikit, Iza pun call Mama. Yang sadisnya, masa tu pun Iza still menangis lagi. Lepastu ada seorang student tu nampak Iza menangis-nangis kat bawah belakang blok. Ahh biarlah! Iza kalau nak menangis tak kira tempat, tak kira masa, kalau dah tak tahan tak kisah lah nak menangis depan siapa-siapa pun tak malu. Gelap gelita, takut? Ahh dalam kubur lagi gelap! Sebab itu la al-Quran jangan tinggal baca walaupun satu ayat satu hati. Bakal jadi torchlight untuk kita di alam kubur nanti.
Alhamdulillah lega sikit rasa sedih tu lepas dapat luahkan perasaan pada Mama. Memang la orang cakap, peduli la apa orang kata pasal diri engkau. Memang la Iza patutnya jangan ambil hati sangat pasal perkara macam ni tapi kalau dah tiba-tiba terdengar, ditambah seizure triggers, stress, penat, emosi tak stabil, jadi macam mana Iza tak ambil hati?
Bila dah menangis tu menangis la puas-puas. Tapi yang Iza terharu sangat pasal kucing tu pujuk Iza seolah-olah dia faham apa yang berlaku. Kami berkenalan waktu Iza tengah menangis tersedu-sedu.
[Inilah kucingnya, calico cat, terima kasih awak]
Beberapa hari selepas kejadian tu, kucing tu datang depan pintu rumah. Kucing tu nampak gembira. Mama cakap mungkin sebab kucing tu tengok Iza dah tak sedih lagi. So Iza pun beri la dia kibbles (biskut kucing) sebagai tanda terima kasih Iza pada dia. Berkawan dengan haiwan kesayangan Rasulullah memang tak menghampakan. Malahan, kadang-kadang haiwan lebih baik dari manusia yang berakal. Tak rugi pun berkawan dengan haiwan. Ini la bukti yang dinamakan ‘simbiosis’, dua spesies yang berlainan tetapi hidup bersama. Atau barangkali ‘mutualism’? Kedua-dua hidupan mendapat manfaat bersama bila hidup bersama antara satu sama lain?
[Belanja dia makan kibbles]
Kucing tu kerap jenguk Iza & dia tunggu kat depan pintu rumah. Iza mesti tak lupa beri dia kibbles. Waktu Iza angkat barang sehari sebelum balik untuk disimpan di stor penyimpanan, kucing tu datang lagi. Hari last Iza nak pulang ke kampung halaman, kucing tu pun ada. Dia pandang je Iza tarik beg roda tu. Mungkin dia nak ucap bye-bye sebab sebulan lebih sebelum naik semester baru nanti baru boleh jumpa dia lagi. Dia tengokkan jer Iza tarik beg roda tu. Lagaknya seperti waktu penyingkiran dalam rancangan realiti televisyen yang terkenal, Akademi Fantasia. Peserta yang tersingkir perlu menarik bagasi beroda dan melangkah keluar bersama kesedihan. Konon menambahkan ‘feeling’ kesedihan selepas tersingkir la tu.
“Time spend with a cat is never wasted” (unknown).
Tapi Iza bersyukur, walaupun selalu dihina tapi Iza masih lagi ada orang sekeliling yang menyokong Iza, ada yang bagi kata-kata semangat, ada yang menyebelahi Iza, ada yang faham perasaan Iza. Tak kisah la manusia atau kucing, terima kasih banyak-banyak ye semua !
Okey thanks a lot ya baca entri yang panjang berjela ni. Jadi satu karangan pulak. Moga-moga satu hari nanti Iza dapat hasilkan sebuah novel berkenaan kisah realiti hidup penghidap epilepsi dengan tujuan nak beri kesedaran pada masyarakat. Mudah-mudahan. Maaflah kalau bahasa tercampur, sekejap sentimental, sekejap bahasa rojak, sekejap bahasa pasar. Ok bye. Assalamualaikum! (Wow lebih 2 300 patah perkataan!) Noktah.